Cari:
Sungai Mekong: Laluan Perkapalan dan Sumber Hidroelektrik yang Penting kepada Negara Serantau
2011-12-09 11:33:38 CRI Cetak

Sungai Lancang yang berpunca dari provinsi Qinghai, bahagian barat China merupakan hulu kepada Sungai Mekong yang mengalir di beberapa negara ASEAN, termasuk Myanmar, Laos, Thailand, Kemboja dan Vietnam. Sungai Mekong merupakan sungai terbesar di rantau Asia, maka isu yang berkaitan dengan sungai itu sentiasa menjadi perhatian bersama negara-negara di kawasan alirannya. Dua bulan selepas serangan yang menyebabkan anak kapal China terbunuh di Sungai Mekong, China dan beberapa negara anggota ASEAN termasuk Laos, Myanmar dan Thailand memutuskan agar operasi rondaan bersama diadakan bagi memastikan keselamatan laluan perkapalan di sungai tersebut mulai pertengahan bulan Disember ini.

Sungai Mekong merupakan laluan perkapalan yang penting untuk pengangkutan barangan antara negara-negara serantau, khususnya selepas pembukaan laluan perkapalan di hulunya sejak Jun tahun 2001. Menurut statistik pihak Thailand, kebanyakan kapal yang singgah di pelabuhan Chiang Saen, ialah kapal kargo China yang berkapasiti melebihi 300 tan. Selepas menghantar produk buatan China ke Thailand, termasuk produk pertanian, bahan binaan, barang kegunaan harian dan barangan elektronik, kapal China juga mengangkut balik beberapa jenis produk Thailand, seperti buah-buahan tropikal, minyak kelapa sawit, getah, beras dan kayu-kayan.

Menurut statistik, kargo yang dihantar melalui laluan perkapalan China-Thailand di Sungai Mekong mencatat 300 ribu tan pada setiap tahun. Sungai itu dipercayai boleh menyumbang kepada peningkatan perdagangan sebanyak 8%-11% setiap tahun antara negara-negara serantau.

Selain itu, Sungai Mekong juga kaya dengan sumber air untuk menjana kuasa elektrik, terutamanya di kawasan hulu yang ketinggiannya berlainan. Menurut pegawai daripada Suruhanjaya Sungai Mekong, usaha menerokai hidroelektrik merupakan isu yang berkait rapat dengan kepentingan pelbagai negara.

Pembangunan hidroelektrik di Sungai Mekong sekali lagi menarik perhatian ramai apabila berlakunya bencana kemarau yang serius di kawasan alirannya pada tahun 2010. Projek pembinaan stesen janakuasa elektrik di hulu sungai didakwa faktor yang menyebabkan kemarau itu berlaku. Namun, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sungai Mekong, kemarau itu disebabkan oleh hujan yang amat sedikit pada musim kemarau dan musim hujan yang terlalu pendek. Bencana kemarau dianggap tidak berkaitan dengan pembinaan tambak oleh China di hulu sungai kerana kemarau juga berlaku di kawasan barat daya China dan beberapa negara Asia yang lain. Menurut pegawai itu lagi, kerjasama antara pelbagai negara di kawasan sungai Mekong kini meningkat dari semasa ke semasa. Antara satu kemajuan dalam kerjasama ini, China bersetuju berkongsi maklumat mengenai keadaan aliran sungai dan projek pembinaan tambak di Sungai Mekong dengan negara-negara ASEAN terlibat sejak tahun 2010.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China