Menurut laporan penyelidikan yang dikeluarkan oleh Price Waterhouse Coopers (PWC), dibanding dengan Amerika dan Eropah yang berada dalam kemelesetan pasaran, Asia Pasifik merupakan tapak pelaburan yang lebih digemari sektorperuncitan dunia. Rantau ini dijangka akan mencapai kadar pertumbuhan 6% dari tahun 2011 hingga 2015, iaitu yang paling pesat di dunia. Pada tahun 2015, jumlah jualan runcit di rantau ini dijangka meningkat 59%, dengan mencatat USD 10.5 trilion daripada USD 6.6 trilion buat masa ini.
Berdasarkan laporan tersebut, meskipun prospek krisis ekonomi dunia yang tidak menentu akan memperlahankan pembangunan Asia Pasifik, sektor peruncitan rantau ini tetap dapat berkembang kerana situasi ekonomi di rantau ini agak baik jika dilihat dari segi keseluruhan dan golongan pertengahan yang semakin bertambah besar. Menurut PWC, disebabkan infrastruktur telekomunikasi disempurnakan selanjutnya, jumlah pelayar internet terus bertambah dan keselamatan siber turut meningkat, sektor peruncitan melalui internet dijangka membangun paling pesat di Asia Pasifik pada empat tahun akan datang. Jumlah urus niaga berkenaan akan meningkat 20%, malah melebihi 40% di Jepun dan China.
Menurut laporan tersebut, urusniaga peruncitan juga membangun pesat di beberapa entiti ekonomi baru selain China. Potensi pasaran Indonesia yang dianggap sebagai entiti ekonomi baru terbesar di Asia Tenggara, juga menarik perhatian gergasi peruncit asing kebelakangan ini. Selain Carrefour dan Lotte yang telah mengembangkan sayap mereka dalam pasaran Indonesia, yang lain juga sedang mempercepat langkah mereka. Amerika Syarikat sahaja, sudah mempunyai 16 syarikat francais yang merancang merintis pasaran di Indonesia.
Berdasarkan jangkaan laporan tersebut, pertumbuhan peruncitan di Indonesia akan mencatat 4.5% hingga 5% pada empat tahun akan datang. Angka ini lebih rendah daripada China, tetapi lebih tinggi dibanding dengan Jepun, Republik Korea dan Australia. Maka, sektor peruncitan domestik negara tersebut amat optimis dengan prospeknya. Naib Pengerusi Persatuan Peruncitan Indonesia menyatakan, prospek dalam sektor tersebut cerah dengan pertumbuhan purata tahunan mencecah 10% hingga 15%. Jumlahnya pada tahun ini dijangka mencapai Rupiah 138 trilion, meningkat 15% berbanding tahun lalu.