Latihan bersama pasukan khas antikeganasan China dan Indonesia "Sharp Knife 2012" berakhir di Jinan, provinsi Shandong semalam. Latihan tersebut berjaya meningkatkan kemampuan pertempuran antikeganasan dan tindakan bersama kedua-dua pasukan, di samping menggalakkan perkongsian pragmatik dan kerjasama.
Penolong Pertempuran Ketua Turus Angkatan Darat Indonesia, Mayor Jeneral Dedi amat berpuas hati setelah melihat hasil latihan berkenaan. Beliau berkata,
"Saya berharap latihan bersama seumpama ini dapat diperluas kepada pasukan khas angkatan udara dan laut bagi meningkatkan kemahiran profesional anggota tentera. Dengan usaha ini, pasukan khas bersama yang bersepadu dapat dibentuk, sekali gus melancarkan kerjasama dan penyelarasan operasi keselamatan masing-masing di Asia Pasifik."
Dedi menambah, Indonesia dan China merupakan kuasa utama bagi memelihara kestabilan serantau, dan memainkan peranan yang penting dalam usaha membanteras keganasan, mencegah penularan penyakit, menangani bencana alam dan membasmi kegiatan jenayah transnasional.
Pihak China juga berpendapat latihan tersebut amat bermakna. Menurut Naib Ketua Komander China dalam operasi latihan kali ini, Kapten Zhu Jianlong,
"Latihan seumpama ini amat bermakna kerana ia dapat memperluas visi kami sekali gus mengukuhkan lagi persefahaman antara satu sama lain."
Seramai 70 orang askar masing-masing telah dikerah mengambil bahagian dalam latihan kali ini. Dalam tempoh dua minggu latihan tersebut, mereka berjaya mengatasi halangan akibat perbezaan bahasa dan adat resam serta menjalin persahabatan yang mendalam. Naib Ketua Komander Indonesia dalam latihan tersebut, Kapten Eka Wira berharap persahabatan ini akan berkekalan.
"Saya diberi arahan untuk memelihara hubungan baik China-Indonesia. Nampaknya latihan ini sangat berjaya kerana kedua-dua pihak amat akrab."