Cari:
Indonesia Selamatkan ASEAN daripada Berpecah-belah
2012-07-20 14:30:18 CRI Cetak

Sidang Menteri Luar ASEAN yang berakhir 13 Julai lalu tidak mengeluarkan kenyataan bersama buat pertama kali dalam tempoh 45 tahun kerana negara anggotanya mempunyai perselisihan berhubung isu Laut China Selatan. Hal itu telah menarik perhatian yang meluas dari kalangan masyarakat antarabangsa, dan ada yang menyifatkannya sebagai tanda ASEAN tidak lagi bersatu padu. Oleh itu, Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa segera melawat lima negara berkenaan untuk menyangkal pendapat tersebut.

Selepas sidang berkenaan berakhir, Marty menyatakan bahawa ASEAN yang tidak lagi bersatu padu dan menunjukkan tanda-tanda mungkin berpecah belah tidak mampu mengekalkan pengaruhnya bagi menerajui rantau Asia Tenggara. Setelah mendengar laporan Marty, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yodhoyono menegaskan, situasi itu mesti diperbaiki. Tidak kira bagaimana rumit sekalipun masalah itu, mencari titik persamaan adalah budaya dan tradisi politik ASEAN selama ini, yang juga dianggap oleh dunia luar sebagai prinsip pertubuhan itu. Menurut Susilo, beliau sama sekali tidak bersetuju bahawa ASEAN sedang berpecah, kerana pertubuhan itu masih berpadu meskipun terdapat beberapa masalah yang perlu segera diselesaikan. Pendirian yang bersatu mungkin boleh dibentuk menerusi perundingan dengan Menteri Luar anggota lain.

Menurut arahan Susilo, Marty telah memulakan lawatannya kelmarin. Dalam lawatan selama 36 jam ini, beliau bermesyuarat dengan Menteri Luar Filipina, Vietnam, Malaysia, Singapura dan Kemboja. Marty juga menegaskan semula peri pentingnya Deklarasi Tatalaku Laut China Selatan dan garis panduannya, mengadakan perbincangan berhubung deklarasi tersebut dengan merujuk kepada Konvensyen PBB tentang Undang-undang Laut yang diluluskan pada tahun 1982, serta menyelesaikan pertikaian berkenaan tanpa menggunakan keganasan.

Selepas bertemu dengan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hor Namhong, Marty berkata kepada media bahawa prinsip-prinsip tersebut telah disampaikan dan bakal diumumkan Hor Namhong hari ini setelah mendapat pengesahan rasmi semua pihak terbabit.

Ini mungkin meredakan secara sementara perselisihan dalaman ASEAN berhubung isu Laut China Selatan. Walau bagaimanapun, niat Filipina dan Vietnam untuk mempengaruhi ASEAN telah memberikan kesan negatif yang mendalam. Pertama, matlamat ASEAN untuk mencapai integrasi ekonomi menjelang tahun 2015 mungkin terbantut akibat isu Laut China Selatan. Kedua, dengan latar belakang kemelesetan ekonomi global, hubungan kerjasama ekonomi dengan China amat diperlukan. Membesar-besarkan isu berkenaan nyata sekali mempengaruhi kerjasama China-ASEAN. Dan ketiga, kemelut di perairan berkenaan justeru mencerminkan keadaan semasa "permainan catur" antara dua buah gergasi, iaitu A.S. dan China. Sekiranya ASEAN cuba memaksa negara anggotanya menyatukan pendapat masing-masing, krisis yang lebih besar mungkin tercetus, bahkan ASEAN sendiri mungkin berpecah belah, dan akhirnya kehilangan inisiatifnya sehingga menjadi alat untuk dipergunakan pihak lain.

Bagaimana menyatukan pendapat negara-negara ASEAN dan bagaimana menghadapi gergasi Asia ini akan menjadi satu lagi cabaran besar dan menguji kebijaksanaan diplomatik ASEAN, termasuk Indonesia.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China