20 April merupakan hari pencalonan bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Malaysia. Ini bermakna pertandingan bagi memperoleh 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi dewan undangan negeri (DUN) telah dimulakan secara menyeluruh.
PRU-13 dikatakan yang paling sengit dalam sejarah Malaysia, kerana Barisan Nasional (BN) akan menghadapi tekanan dan cabaran besar dari pembangkangnya, Pakatan Rakyat (PR).
Selain itu, jumlah calon bebas yang bertanding dalam pilihan raya tersebut mencatat 270 orang, memecahkan rekod pada tahun 2008 yang mencecah 103 orang. Persaingan yang paling sengit dipercayai berlaku di Sabah, kerana di negeri itu terdapat 7 calon yang merebut satu kerusi parlimen.
Persaingan sengit seumpama itu berpunca daripada ramai ahli politik yang masuk bertanding selaku calon bebas setelah gagal dipilih menjadi calon parti mereka. Selain itu, persengketaan dalaman turut berlaku dalam PR. Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se Malaysia (PAS) masing-masing memilih calon sendiri bagi 1 kerusi parlimen dan 4 kerusi DUN.
Sebagai kubu BN dan "tempat lahirnya" UMNO, negeri Johor mempunyai 26 kerusi parlimen. Sekiranya PR dapat merampas Johor yang mempunyai paling banyak kerusi parlimen itu, keadaan di negeri lain mungkin dipengaruhi besar.
Selain Johor, Selangor yang dianggap sebagai negeri paling kaya pula menjadi tapak persaingan sengit. BN akan berusaha memperoleh semula kekuasaan negeri itu dari PR kali ini. Untuk menghadapi persaingan dengan PR di negeri itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akan memimpin BN. Walau bagaimanapun, PR berkemungkinan besar tetap memegang pentadbirannya di negeri berkenaan kerana prestasi cemerlangnya di Selangor dalam tempoh lima tahun yang lalu telah pun disaksikan oleh rakyat.