Cari:
Kesudahan Pergolakan Politik Thailand, Dugaan Ramai
2013-12-05 14:36:27 CRI Cetak

Situasi di Bangkok, Thailand yang bergolak telah berlarutan sehingga lebih sebulan. Walaupun keadaan antara kerajaan dengan penunjuk perasaan antikerajaan pulih tenang semalam, namun sama ada situasi akan memburuk lagi pada masa depan dan kaedah Perdana Menteri Yingluck Shinawatra mengatasi krisis politik yang paling serius sejak memegang jawatannya turut menjadi tumpuan masyarakat umum.

Situasi Thailand yang tegang kini berpunca daripada tindakan kerajaan yang mengusulkan Akta Pengampunan Khas dalam Parlimen. Menurut usul itu, pengampunan akan diberikan kepada semua banduan yang dihukum kerana terlibat dalam perhimpunan politik sejak 19 September 2006 hingga 8 Ogos 2013. Ini termasuk mereka yang terlibat dalam rampasan kuasa politik, serta mantan Perdana Menteri Thailand yang sekarang dalam buangan, yang juga abang Yingluck, Thaksin. Ini tidak boleh diterima oleh parti pembangkang. Sebaik sahaja akta itu diluluskan oleh Dewan Perwakilan pada 1 November lalu, parti pembangkang segera mengumumkan akan mengadakan tunjuk perasaan di Bangkok.

Pada mulanya, parti pembangkang menuntut agar akta itu dibatalkan. Kerajaan pun segera mengambil langkah bertolak ansur, lalu Dewan Senat pula memveto akta itu. Namun tujuan perhimpunan pembangkang telah berubah dengan sasaran menggulingkan kerajaan Yingluck. Pemimpin pembangkang, Suthep Thuagsuban mengemukakan cadangan untuk menubuhkan "Majlis Rakyat", yang bertanggungjawab mencalonkan Perdana Menteri baharu dan membentuk kerajaan sementara sehingga pilihan raya diadakan semula. Semua ini demi menyingkirkan Thaksin Shinawatra dan Yingluck dari pentas politik Thailand.

Yingluck sentiasa mengambil sikap yang tenang terhadap perhimpunan baru-baru ini. Beliau pernah menyatakan akan berusaha dengan sedaya-upaya untuk memulihkan ketenteraman masyarakat. Namun, parti pembangkang tidak berpuas hati dengan sekadar peletakan jawatan Yingluck dan pembubaran Parlimen, kerana walaupun pilihan raya diadakan semula, Parti Pheu Thai (PTP) yang dipimpin Yingluck tetap akan menang lagi. Yingluck semalam telah menyatakan dengan tegas tidak dapat menerima cadangan Suthep tersebut kerana ia bercanggah dengan perlembagaan.

Hari ini adalah hari keputeraan Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej, dan juga Hari Kebangsaan dan Hari Bapa di Thailand. Kerajaan dan parti pembangkang dijangka mengadakan perdamaian sementara untuk bersama-sama menyambut hari yang penting ini. Namun Suthep telah mengumumkan bahawa tunjuk perasaan akan disambung esok.

Setakat ini, tentera Thailand tidak terlibat dalam konfrontasi antara kerajaan dengan parti pembangkang. Mereka berharap isu itu dapat diselesaikan secara damai. Menurut maklumat, panglima angkatan tentera darat, laut dan udara Thailand akan mengadakan mesyuarat selepas sambutan hari ini untuk membincangkan kaedah menyelesaikan situasi semasa.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China