Cari:
Operasi Mencari MH370 Masuk Fasa Baharu
2014-04-29 11:04:01 CRI Cetak

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott semalam mengadakan sidang taklimat di Canberra yang mengumumkan operasi mencari MH370 di kawasan selatan Lautan Hindi memasuki fasa baharu. Menurut beliau,

"Saya berasa kesal kerana setakat ini operasi mencari di udara, permukaan laut dan dalam laut gagal mengesan sebarang serpihan dari pesawat MH370. Ini mungkin pencarian yang paling sukar dalam sejarah. Pencarian fasa baharu akan dimulakan ke kawasan dasar laut yang lebih luas."

Ketua Pusat Penyelarasan Tindakan Bersama (JACC) Australia, Angus Houston yang turut hadir dalam sidang taklimat tersebut kemudian pergi ke Kedutaan Besar China untuk diwawancara oleh media China. Beliau menyatakan bahawa pihaknya yakin kawasan pencarian sekarang adalah betul. Ini disebabkan kawasan ini merupakan lokasi "jabat tangan" kali ketujuh pesawat berkenaan dengan satelit. Tetapi isyarat "jabat tangan" itu berbeza dengan yang sebelumnya, ia berkemungkinan besar dihantar ketika pesawat tersebut jatuh.

Selain itu, kapal "Ocean Shield" Australia yang membawa pengesan sonar "Towed Pinger Locator" (TPL-25) berjaya mengesan isyarat sebanyak empat kali dari dasar laut di bahagian utara kawasan ini. Berdasarkan analisis pakar, isyarat itu bukan berasal dari alam semula jadi, dan sejajar dengan isyarat kotak hitam. Tambah lagi, terdapat sebuah laluan penerbangan dari Pulau Cocos ke Perth justru di atas kawasan tersebut.

Mengenai operasi selanjutnya, Tony Abbott memaklumkan bahawa,

"Sekarang, kita patut menggunakan teknologi baharu untuk meningkatkan operasi mencari di dasar laut, terutamanya menggunakan sonar pengimbas dasar laut yang canggih untuk mencari serpihan pesawat. Kerajaan Australia dan Malaysia sedang berbincang untuk mengupah satu atau dua syarikat komersial bagi melaksanakan kerja ini. Syarikat-syarikat tersebut akan menandatangani kontrak dengan kerajaan Australia. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Malaysia dan China bagi menggalakkan operasi mencari."

Menurut beliau, proses perbincangan dan penandatangan kontrak dengan syarikat komersial memerlukan masa kira-kira empat minggu, manakala kerja mengimbas kawasan dasar laut yang seluas 60 ribu kilometer persegi mungkin memerlukan masa 8 hingga 12 bulan.

Pada masa yang sama, bilangan pesawat udara dan kapal yang menyertai pencarian di udara dan permukaan laut akan dikurangkan beransur-ansur. "Bluefin-21" yang telah tamat misi pencariannya di kawasan utama seluas lebih 300 kilometer persegi akan terus melaksanakan misinya di kawasan berhampiran yang hampir sama keluasannya, dan misi ini dijangka akan tamat pada awal bulan Mei.

Bagaimanapun, Tony Abbott juga menegaskan bahawa Australia akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan misteri kehilangan pesawat MH370 dan menyediakan segala bantuan kemanusiaan. Ini merupakan tanggungjawab dan kewajiban Australia terhadap penumpang pesawat itu bahkan seluruh dunia.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China