Cari:
OCA Tinjau Kelayakan Indonesia untuk Anjurkan Sukan Asia 2019
2014-05-13 13:43:12 CRI Cetak

Vietnam mengumumkan membatalkan permohonan untuk menganjur Sukan Asia ke-18 2019 bulan lalu. Baru-baru ini, delegasi Majlis Olimpik Asia (OCA) telah mengadakan tinjauan ke Indonesia untuk menilai kemungkinan Jakarta menggantikan Hanoi sebagai tuan rumah Sukan Asia 2019. Sebelum ini, Kementerian Sukan dan Jawatankuasa Olimpik Indonesia telah menyatakan hasrat untuk menganjurkan temasya tersebut.

Hanoi menewaskan Surabaya untuk mendapat hak penganjuran Sukan Asia ke-18 pada tahun 2012. Meskipun Vietnam membatalkan permohonan kerana tekanan ekonomi, tetapi Indonesia berpendapat kejayaan temasya sukan juga akan membawa faedah ekonomi dan pengaruh yang besar kepada tuan rumah.

Ekonomi Indonesia berkembang pesat baru-baru ini, menganjurkan Sukan Asia akan membantu negara itu memperluas pengaruhnya di Asia Tenggara bahkan Asia. Dengan peluang ini, kerajaan Indonesia dapat menggalakkan pembinaan infrastruktur dalam negeri, termasuk menaiktaraf stadium bahkan lapangan terbang dan stesen kereta api. Penganjuran Sukan Asia juga akan meningkatkan tumpuan kerajaan terhadap sukan sekali gus meningkatkan kesihatan rakyat.

Oleh itu, Kementerian Sukan dan Jawatankuasa Olimpik Indonesia bersikap positif terhadap penganjuran Sukan Asia, dan juga mendapat sokongan daripada rakyat secara umumnya. Bagaimanapun, terdapat juga suara menentang yang berpendapat Indonesia kurang pengalaman dan modal untuk menganjurkan temasya sukan seumpama itu.

Setelah mengetuai delegasi OCA mengadakan peninjauan di Indonesia, Presiden Kehormat Seumur Hidup OCA, Wei Jizhong menyatakan, stadium, pusat konvensyen dan pameran serta hotel di Jakarta semuanya memenuhi segala keperluan untuk menganjurkan Sukan Asia. Kemudahan yang sedia ada sudah cukup dan hanya perlu dinaiktaraf sahaja, ini membolehkan Indonesia menggantikan Hanoi sebagai tuan rumah Sukan Asia ke-18 dalam masa yang singkat.

Selain Indonesia, Malaysia, Singapura dan Turkmenistan juga telah menyatakan hasrat untuk menganjurkan temasya sukan ini, bahkan Malaysia bersedia bekerjasama dengan Singapura sebagai penganjur bersama. OCA sedang bersiap sedia untuk membincangkan dan memutuskan negara mana akan menggantikan Hanoi sebagai tuan rumah baharu.

Bagaimanapun, Presiden Jawatankuasa Olimpik Indonesia, Rita Subowo telah menyatakan keyakinan atas kelayakan Jakarta. Menurut beliau, OCA juga amat berpuas hati dengan hasil tinjauan di negara itu. Menteri Sukan Indonesia, Roy Suryo juga menyatakan, Indonesia tidak boleh melepaskan peluang ini. Indonesia telah menganjurkan Sukan Asia seawal tahun 1962, mengapa tidak boleh pada masa ini?

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China