A. Operasi Pelantar Minyak 981
Lokasi 981 dan Pulau Zhongjian China.
Pada 2 Mei lalu, pelantar minyak 981 milik syarikat China mengadakan operasi cari gali minyak dan gas asli di kawasan perairan Kepulauan Xisha China. Setakat ini, operasi fasa pertama telah tamat, fasa kedua pula dimulakan pada 27 Mei lalu. Kawasan operasi pelantar minyak 981 berjarak 17 batu nautika dari Pulau Zhongjian China dan garis asas wilayah laut Kepulauan Xisha China, tapi berjarak kira-kira 133 hingga 156 batu nautika dari pantai Vietnam.
Syarikat China telah mengadakan penyelidikan berkenaan selama 10 tahun di kawasan perairan tersebut. Operasi pelantar minyak 981 merupakan lanjutan penyelidikan tersebut dan di dalam wilayah kedaulatan dan pentadbiran China.
B. Provokasi dari Vietnam
Setelah pihak China memulakan operasi berkenaan, Vietnam segera menghantar banyak kapal, termasuk kapal yang bersenjata untuk mengganggu operasi China, melanggar kapal awam kerajaan China yang bertugas mengawal keselamatan, menugaskan juruselam dan ejen khas ke kawasan perairan tersebut, dan meletakkan objek yang mengganggu seperti jala dan sebagainya. Setakat pukul 5 petang kelmarin, jumlah kapal-kapal Vietnam mencapai sebanyak 63 buah dan buat kali ke-1416 memasuki kawasan kawalan China bahkan melanggar kapal awam China.
Tindakan Vietnam tersebut telah menjejaskan kedaulatan, hak kedaulatan dan hak pentadbiran China bahkan mengancam keselamatan pekerja dan pelantar minyak 981 China. Tindakan tersebut juga secara serius melanggar undang-undang antarabangsa termasuk "Piagam PBB" , "Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut" (UNCLOS) yang diluluskan pada tahun 1982 dan "Konvensyen Melarang Tindakan Haram Yang Mengancam Keselamatan Pelayaran Laut" (SUA) yang diluluskan pada tahun 1988 serta "Protokol Melarang Tindakan Haram yang Mengancam Keselamatan Platform Tetap yang Dibina di Pelantar Benua", sekali gus menjejaskan kebebasan dan keselamatan pelayaran di kawasan perairan tersebut serta kedamaian dan kestabilan serantau.
Pada masa yang sama, pihak Vietnam juga membiarkan tunjuk perasaan antiChina di dalam negerinya. Pada pertengahan bulan Mei, ribuan penjenayah Vietnam memusnahkan kilang syarikat pelbagai negara termasuk China di negara itu, mengakibatkan empat orang warga China terbunuh dan lebih 300 lagi cedera serta kerugian harta benda yang besar.
Peta Vietnam yang diterbitkan pada tahun 1972 tetap menggunakan nama Kepulauan Xisha dan Nansha mengikuti kenyataan China.
C. Reaksi dari China
Sempadan Zon Ekonomi Ekseklusif (EEZ) dan pelantar benua antara Kepulauan Xisha China dengan pantai Vietnam belum dipastikan. Kedua-dua pihak mengeluarkan tuntutan berkenaan berdasarkan UNCLOS. Bagaimanapun, berdasarkan apa jua prinsip, kawasan perairan tersebut tidak mungkin menjadi EEZ dan pelantar benua Vietnam.
Meskipun menghadapi provokasi Vietnam, China mengekalkan sikap yang sabar. China mengambil langkah mencegah dengan menghantar kapal awam untuk mengawal keselamatan operasi dan pelayaran. Pada masa yang sama, sejak 2 Mei lalu, China telah mengadakan komunikasi lebih 30 kali dengan Vietnam untuk menuntut menghentikan gangguan. Bagaimanapun, gangguan Vietnam diteruskan hingga sekarang.
D. Kepulauan Xishang Merupakan Wilayah China
Kepulauan Xisha merupakan wilayah China yang tidak mempunyai tuntutan bertindih. China merupakan negara yang paling awal menemui, menerokai dan mentadbir Kepulauan Xisha. Seawal Dinasti Song (906-1126 Masihi), Kepulauan Xisha telah di bawah pentadbiran kerajaan China, tentera laut China pula meronda di kawasan perairan tersebut. Jepun pernah menduduki Kepulauan Xisha dalam tempoh Perang Dunia II. Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, berdasarkan siri perjanjian antarabangsa, kerajaan China menghantar pegawai kanan ke Kepulauan Xisha untuk mengadakan upacara mengambil kembali kedaulatan pada November 1946, serta meletakkan monumen peringatan dan menempatkan pasukan pengawal di sana. Ini menandakan pentadbiran kerajaan China di Kepulauan Xisha dipulihkan.
Sebelum tahun 1974, kerajaan Vietnam tidak pernah mempertikaikan kedaulatan China di Kepulauan Xisha. Sebaliknya kenyataan kerajaan, akhbar, peta dan buku teksnya secara rasmi mengiktiraf Kepulauan Xisha merupakan wilayah China sejak purba kala.
Nota Pham Van Dong
Pada 4 September 1958, kerajaan China mengeluarkan kenyataan yang mengumumkan wilayah laut China selebar 12 batu nautika dan secara jelas memaklumkan peraturan ini berkuatkuasa di Kepulauan Xisha. Dua hari selepas itu, akhbar rasmi Parti Komunis Vietnam menerbitkan kenyataan kerajaan China ini. Pada 14 September, Perdana Menteri Vietnam pada masa itu, Pham Van Dong menghantar nota kepada rakan sejawatnya di China, Zhou Enlai dan menyatakan, kerajaan Vietnam mengiktiraf dan menghormati kenyataan kerajaan China mengenai wilayah laut berkenaan.
E. Menyelesaikan Pertikaian dengan Sempurna
China berusaha memelihara kedamaian dan kestabilan di Laut China Selatan, menggalakkan kerjasama dan pembangunan negara-negara serantau, memelihara tujuan dan prinsip "Piagam PBB", norma asas hubungan antarabangsa dan undang-undang antarabangsa. China tidak mahu melihat sebarang pergolakan berlaku di kawasan sekitar.
China berharap hubungan dengan Vietnam berkembang dengan baik, tapi juga tidak akan membelakangi prinsip sendiri. Saluran komunikasi antara China dengan Vietnam adalah lancar. China menuntut Vietnam menghormati kedaulatan, hak kedaulatan dan pentadbiran China bagi memelihara hubungan bilateral serta kedamaian dan kestabilan di Laut China Selatan, segera menghentikan gangguan terhadap operasi China, mengundurkan kapal dan petugas supaya meredakan situasi dan memulihkan ketenangan. China akan terus berusaha berkomunikasi dengan Vietnam bagi menyelesaikan pertikaian dengan sebaik mungkin.