Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-47 dirasmikan di Naypyidaw Myanmar kelmarin. Menteri Luar China, Wang Yi juga akan menghadiri siri mesyuarat bermula esok hari hingga 11 Ogos nanti. Media antarabangsa berpendapat, isu Laut China Selatan akan menjadi tumpuan mesyuarat kali ini.
Agensi Berita AP melaporkan, seorang pegawai kanan AS baru-baru ini menyatakan bahawa AS akan mencadangkan supaya pelbagai pihak terlibat "membeku" langkah untuk mengubah keadaan sedia ada, termasuk menduduki pulau tanpa penduduk dan penerokaan di pulau yang menjadi pertikaian. Menteri Luar Filipina, Albert del Rosario turut menilai cadangan AS bersifat "membina dan positif" dan berpendapat ini bersesuaian dengan "pakej tiga langkah" yang dikemukakan oleh Filipina sebagai rangka jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menyelesaikan isu Laut China Selatan. Filipina juga menyatakan pada 4 Ogos lalu bahawa "pakej tiga langkah" yang dikemukakan pihaknya telah mendapat sokongan dari Vietnam, Indonesia dan Brunai.
Merujuk perkembangan tersebut, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Sempadan dan Laut, Kementerian Luar China, Yi Xianliang menyatakan pada 4 Ogos lalu bahawa pakej "membeku" AS dan "pakej tiga langkah" Filipina tidak rasional dan juga tidak diperlukan. Menurut beliau, pekaj penyelesaian sudah ada, iaitu "Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkaitan di Laut China Selatan(DOC)" . Sejak berkuatkuasa pada 2002, DOC secara berkesan mengawal situasi di Laut China Selatan. Bagaimanapun, tindakan yang melanggar DOC dan meningkatkan pertikaian tetap berlaku pada beberapa tahun ini. Yang penting ialah menjamin pelaksanaan DOC.
Yi Xianliang berkata, rundingan mengenai Kod Tatalaku Laut China Selatan (COC) di bawah rangka DOC telah bermula tahun lalu dan mencapai kemajuan. Apa maksudnya pakej "membeku" dan "tiga langkah" dikemukakan pada masa ini? Adakah untuk menggantikan rundingan COC? Menurut beliau, rundingan COC merupakan usaha politik penting untuk menjamin kestabilan Laut China Selatan. Masyarakat antarabangsa patut memberi waktu dan ruang kepada negara-negara di rantau Laut China Selatan bagi menyelesaikan isu-isu sendiri. Rakyat Asia mempunyai kaedah dan kebijaksanaan tersendiri untuk menyelesaikan isu tersebut.
Syarikat minyak China, Vietnam dan Filipina menandatangai perjanjian penyelidikan bersama pada tahun 2005
Yi Xianliang menyatakan lagi, China tetap berusaha menggalakkan pelbagai negara terlibat "meneroka bersama" di kawasan yang dipertikaikan. Bagaimanapun, rasa saling mempercayai politik perlu diwujudkan dulu, barulah mungkin "mengetepikan pertikaian". China, Filipina dan Vietnam pernah melaksanakan penyelidikan bersama di kawasan perairan Kepulauan Nansha seawal tahun 2005. Jika mengekalkan rasa saling mempercayai politk dan terus maju, penerokaan bersama nescaya dapat diwujudkan. Sayang sekali, beberapa negara akhirnya mengubah dasar sendiri.