Cari:
Enam Peluang Pelaburan bagi China ke Asia Tenggara
2014-09-08 15:02:33 CRI Cetak

Asia Tenggara menarik ramai pelabur global dengan suasana pelaburan yang terbuka, dasar pelaburan yang longgar dan kos buruh yang rendah. Pelabur China juga tertarik untuk memanfaatkan peluang perniagaan di rantau ini.

China dan ASEAN secara rasmi memulakan rundingan bagi menaik taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) akhir bulan lalu. Ini termasuk menaik taraf pelaburan. Pada bulan Mei lalu, pelaburan langsung China di seberang laut dijangka melebihi USD 500 bilion. Sebagai salah satu destinasi pelaburan penting bagi Tanah Besar China, Asia Tenggara menawarkan sekurang-kurangnya enam peluang perniagaan.

Pertama, skala pasaran perdagangan elektronik (e-dagang) melebihi USD 21.8 bilion. Dimaklumkan, pengguna rantau Asia Tenggara semakin menggemari e-dagang. Syarikat Alibaba China mengumumkan pelaburannya sebanyak USD 249 juta ke SingPost pada Mei lalu bagi membina wahana logistik e-dagang antarabangsa. Ini bermakna berjuta-juta produk "keluaran China" dalam Tmall bakal diedar ke Asia Tenggara menerusi sistem logistik yang mudah.

Kedua, bahagian pasaran pelancongan di rantau ini menjadi rebutan. Pada bulan Jun lalu, Syarikat Qunar China mengumumkan pelaburannya dalam aplikasi GrabTaxi yang meliputi lebih 20 ribu pemandu teksi di 15 buah bandar di Malaysia dan Singapura. Selain itu, Syarikat Ctrip China pula giat memperluas perniagaannya dengan pelanggan di Asia Tenggara.

Ketiga, pelaburan dalam sektor hartanah tetap optimistik. Asia Tenggara yang beriklim tropika, memiliki persekitaran yang bersih dan penduduk tempatan yang ramah, selain sektor pelancongan, pendidikan dan perubatan yang semuanya menarik pelabur hartanah.

Keempat, prospek usaha sama syarikat automobil cerah. Seiring dengan pertumbuhan ekonomi Asia Tenggara kebelakangan ini, jumlah kelas menengah terus meningkat. Penjualan automobil di ASEAN dijangka melebihi Jepun dan menjadi pasaran kenderaan kelima terbesar di dunia. Kini, syarikat China telah mempercepat rancangan di pasaran tersebut.

Kelima, pembangunan infrastruktur membawa peluang perdagangan besar. Projek kereta api laju dan promosi peralatan keluaran China yang ditekankan Perdana Menteri China, Li Keqiang mendapat sambutan baik di seluruh dunia. Berdasarkan laporan Syarikat Goldman Sachs, pembangunan infrastruktur di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina pada 2013 hingga 2020 memerlukan modal melebihi USD 500 bilion. Ini membawa peluang pelaburan yang berharga kepada China.

Dan keenam, "ekonomi biru", iaitu pembangunan lestari berdasarkan inovasi, amat berpotensi. Dalam Mesyuarat Menteri Perdagangan APEC 2014, Asia Pasifik diseru mengadakan kerjasama biru bagi menggalakkan kesalinghubungan yang mempermudahkan perdagangan barangan dan perkhidmatan, serta pelaburan. Ekonomi biru turut disifatkan sebagai saluran berkesan bagi pengurusan sumber laut dan perlindungan ekologi serta merealisasikan pembangunan lestari.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China