Cari:
Mekanisme Cekap Diperlukan Demi Pembangunan Koridor Ekonomi China-Singapura
2014-09-24 17:24:40 CRI Cetak

Koridor Ekonomi China-Singapura bermula dari Nanning, wilayah Guangxi dan Kunming, provinsi Yunnan China, melalui Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Malaysia dan berakhir di Singapura. Beberapa tahun kebelakangan ini, China dan ASEAN berusaha membangunkannya menjadi wahana kerjasama ekonomi dan perdagangan antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, kepentingan yang berbeza, piawaian kesalinghubungan yang tidak bersatu dan masalah pembiayaan menjadi halangan bagi pembangunan koridor tersebut.

Pembangunan koridor itu turut menjadi tumpuan dalam Ekspo China-ASEAN ke-11 yang berakhir pada minggu lepas.

Naib Ketua Pengarah Pusat Pengajian Strategi, Forum Pembaharuan China, Ma Jiali berkata, disebabkan taraf pembangunan ekonomi yang berbeza, pelbagai negara mempunyai keutamaan yang berlainan dalam pembangunan masing-masing. Antara negara-negara yang terbabit dalam koridor itu, terdapat entiti ekonomi maju seperti Singapura, entiti ekonomi yang taraf pembangunan relatifnya lebih tinggi seperti Malaysia dan Thailand, dan yang lebih rendah seperti Vietnam, Laos dan Kemboja. Wujud juga jurang yang besar antara pendapatan per kapita negara-negara tersebut.

Naib Presiden Akademi Sains Sosial Guangxi, Huang Zhiyong berkata, sesetengah negara masih kurang yakin dengan strategi pembangunan China secara damai. Di samping memperhebat kesalingbergantungan ekonomi dengan China, mereka turut berwaspada dari segi diplomatik dan politik.

Selain itu, piawaian kesalinghubungan yang tidak bersatu juga membawa kesukaran kepada pembangunan koridor tersebut. Sebagai contoh, perlunya menukar kereta api antara pelbagai negara ekoran wujudnya landasan berlainan tolok iaitu tolok piawai dan tolok sempit mempengaruhi keefisienan cara pengangkutan tersebut. Selain itu, peraturan dan undang-undang jalan raya yang berbeza-beza menyulitkan kawalan lalu lintas rentas sempadan.

Modal merupakan satu lagi halangan yang menyekat pembangunan koridor tersebut. Pembangunan koridor ekonomi tersebut merupakan projek yang amat besar dan rumit, dan memerlukan modal dalam jumlah yang besar. Namun, kerajaan sesetengah negara terbabit kurang kemampuan untuk mengumpulkan modal.

Pakar berkenaan mencadangkan supaya pihak-pihak berkenaan mengambil langkah memecah halangan-halangan tersebut, seperti membentuk sistem pertukaran lawatan pemimpin negara, mekanisme perundingan peringkat tinggi dan sistem mesyuarat bersama; menubuhkan institusi penyelaras berkenaan; mempercepat pembinaan pintu sempadan elektronik, sambil menyeragamkan piawaian dan prosedur pemeriksaan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China