Cari:
Mustapa: Siri Persidangan APEC di Beijing Amat Berhasil
2014-11-09 17:30:03 CRI Cetak

Persepakatan untuk melaksanakan kajian mengenai Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (APFTA) meningkatkan kesalinghubungan serantau serta menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantai nilai global antara hasil utama siri persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Beijing. Demikian dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Dato' Sri Mustapa Mohamed dalam temu bual bersama wartawan CRI hari ini.

Menurut beliau, pelbagai negara bersetuju untuk menyelesaikan kajian berhubung penubuhan APFTA menjelang tahun 2016. Selain itu, beberapa negara juga bersedia untuk meningkatkan lagi kesalinghubungan antara satu sama lain. Dalam pada itu, China mengumumkan bantuan yang bernilai USD 40 bilion untuk menubuhkan Tabung Laluan Sutera. Tabung ini penting kerana ia boleh menyediakan dana pelaburan yang besar dan dengan kadar faedah yang munasabah bagi menyokong pembinaan infrastruktur di negara-negara serantau.

Menyentuh tentang hubungan kerjasama antara Malaysia dan China, beliau berkata, kedua-dua negara menikmati hubungan yang rapat dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pendidikan. Jumlah perdagangan dua hala mencatat USD 105 bilion pada tahun 2013. Pada masa yang sama, seramai kira-kira 2 juta orang China melawat ke Malaysia pada tahun lepas. Hubungan dua hala ini tetap mempunyai masa depan yang cerah.

Ketika mengulas tentang usaha menaikkan taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) pula, Dato' Sri Mustapa Mohamed menyifatkan CAFTA sebagai langkah penting bagi meningkatkan hubungan perdagangan kedua-dua pihak. Kini, pelbagai negara perlu menjalankan kajian semula secara menyeluruh untuk menyesuaikan CAFTA dengan perkembangan semasa memandangkan dunia sudah berubah. Kajian itu amat penting bagi memastikan CAFTA ini boleh terus memberikan manfaat kepada ASEAN dan China.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China