Cari:
Teknologi Canggih Penting Bagi Jayakan Laluan Sutera Maritim
2015-01-26 13:41:43 CRI Cetak

Menteri Penasihat Ekonomi Kedutaan Besar Malaysia ke China, Ong Chong Yi baru-baru ini menyatakan bahawa teknologi canggih patut diterapkan dalam usaha membina Laluan Sutera Maritim, termasuk sistem logistik yang efisien, kemudahan perkhidmatan pelabuhan yang serba lengkap, prosedur pelepasan barang di kastam yang cekap, serta perisian canggih seperti e-dagang yang digunakan untuk mengurangkan kos dan meningkatkan keefisienan perdagangan.

Ong menyifatkan hubungan bilateral antara Malaysia dengan China tetap kukuh, baik dari segi politik mahupun ekonomi dan perdagangan. Menurut beliau, jumlah perdagangan kedua-dua negara ini bagi tahun lepas mencatat USD 102 bilion, dan Malaysia tetap rakan dagang terbesar bagi China di rantau ASEAN. Selain itu, program kerjasama yang dilaksanakan oleh syarikat kedua-dua negara tersebut lebih difokuskan kepada sektor-sektor yang bersifat intensif modal dan tinggi nilai tambahnya, daripada sektor perkilangan tradisional. Contohnya, sebuah syarikat Malaysia memperuntukkan dana sebanyak RMB 15 bilion (kira-kira RM 8 bilion) demi menjayakan program penyahgaraman air laut di Tianjin, utara China.

Lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada Oktober 2013 telah menyaksikan penandatanganan Pelan Kerjasama Ekonomi China-Malaysia bagi tempoh lima tahun yang merangkumi 11 bidang utama, seperti pembinaan infrastruktur, logistik, taman perindustrian, pelancongan dan sebagainya. Program kerjasama yang dilaksanakan pada masa sekarang termasuk Taman Perindustrian Qinzhou, Taman Perindustrian Kuantan, projek memperluas pelabuhan di Weifang, Shandong dan projek pembinaan dermaga di Pelabuhan Kuantan. Kesemua program tersebut memang sejajar dengan usaha membina Laluan Sutera Maritim yang disyorkan oleh pemimpin China.

Ong Chong Yi berkata, China menyuntik momentum baharu terhadap integrasi serantau. Baik Jalur Ekonomi Laluan Sutera dan Laluan Sutera Maritim (OBAOR), Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB), mahupun Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) yang sudah dinaiktarafkan, kesemua ini bakal mencipta lebih banyak peluang bagi perkembangan syarikat-syarikat berkenaan. Beliau turut menambah, Pelabuhan Melaka yang dikenali sebagai salah satu pelabuhan yang paling sibuk di dunia pada abad ke-15 memainkan peranan yang amat penting dalam perdagangan antarabangsa. Kini, Selat Melaka masih lagi merupakan laluan antarabangsa yang sibuk, meskipun perdagangan antara Malaysia dengan China sudah berubah daripada sutera, tembikar dan bahan mentah lain, kepada produk-produk elektronik, petrokimia, minyak sawit dan sebagainya.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China