Cari:
Lapan Keutamaan Selaku Pengerusi ASEAN 2015
2015-01-27 12:09:43 CRI Cetak

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN mengenal pasti lapan keutamaan untuk dikongsi bersama-sama dengan negara anggota ASEAN dalam Pemukiman Menteri-Menteri Luar 2015 di Kota Kinabalu bermula 27 Januari.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, antara keutamaan tersebut ialah penubuhan Komuniti ASEAN; membangunkan visi Komuniti ASEAN dan dokumen kehadiran mereka serta mengembangkan perdagangan intra-ASEAN.

Malah menurut beliau, Malaysia juga mengenal pasti keutamaan untuk mengemudi ASEAN supaya lebih dekat dengan rakyat.

"Malaysia percaya ASEAN harus menyampaikan peranan sebenar Komuniti ASEAN, iaitu berkhidmat kepada rakyat selaras dengan tema utama, iaitu 'Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti' yang bersifat menyeluruh," kata beliau kepada pemberita dalam sidang akhbar semalam.

Menurut Anifah, pemukiman selama dua hari itu akan menyaksikan tindakan susulan terhadap keputusan yang telah diambil dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-25 di Myanmar tahun lalu berhubung Gerak Kerja Komuniti ASEAN, selain memfokuskan Visi Hala Tuju Komuniti ASEAN 2015.

Menurut beliau lagi, semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-25 lalu, para pemimpin mengalu-alukan kemajuan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Komuniti ASEAN (2009-2015), selain mengulangi komitmen agar garis tindakan tahun ini dapat dipercepat bagi sama-sama mewujudkan suasana politik, ekonomi dan sosial yang stabil di bawah Komuniti ASEAN.

"Pemukiman ini juga akan memberi peluang kepada Menteri-Menteri Luar ASEAN untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan dan kebimbangan," kata beliau.

Dalam pada itu, Anifah berkata, ASEAN akan terus menjadi asas kepada dasar luar Malaysia.

Ujar beliau, kestabilan serantau akan menyumbang ke arah keupayaan Malaysia dalam perdagangan selain meningkatkan kredibiliti dalam hubungan antarabangsa.

"Untuk tujuan itu, ASEAN yang dilihat lebih bersepadu selain prinsip pandang ke hadapan akan mengukuhkan keupayaan Malaysia bagi mencapai matlamat ini.

"Pada masa yang sama, kemampuan kepimpinan Malaysia di rantau ini perlu jelas dalam usaha untuk menjadi sebuah negara yang lebih berpengaruh di peringkat dunia," tambah beliau.

(Sumber dari Utusan)

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China