Cari:
Setiausaha Agung Baharu ACC Ikrar Prestasi Cemerlang
2015-06-24 15:26:07 CRI Cetak

Majlis sambutan pelantikan Yang Xiuping sebagai Setiausaha Agung baharu Pusat ASEAN-China (ACC) diadakan di Beijing semalam, yang diserikan dengan kehadiran pegawai kanan kerajaan serta beberapa orang duta besar dari negara-negara ASEAN ke China.

Naib Menteri Luar China, Liu Zhenmin ketika berucap pada majlis itu menyatakan bahawa ACC yang beribu pejabat di Beijing itu dilancarkan secara rasmi pada tahun 2011 bersempena dengan ulang tahun ke-20 terjalinnya Hubungan Dialog China-ASEAN. Dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, ACC telah menjalankan pelbagai aktiviti pertukaran antara kedua-dua pihak, yang menjadi wadah berkesan bagi meningkatkan hubungan perkongsian strategik antara China dengan ASEAN. Liu menyifatkan pusat itu sebagai penggalak semangat kejiranan dan kepercayaan, pemacu kerjasama pragmatik dan penyemarak persahabatan yang akrab. Pelantikan Yang selaku setiausaha agung kedua ACC memang kena pada masanya.

Dalam pada itu, Duta Besar Malaysia ke China, Dato' Zainuddin Yahya berkata, ASEAN yakin bahawa Yang akan meneruskan usaha untuk menggalakkan kegiatan perdagangan dan pelaburan, serta pelancongan, pendidikan dan kebudayaan antara ASEAN dengan China. Pada pandangannya, Yang Xiuping yang sebelum ini berkhidmat sebagai Duta Besar China ke ASEAN sejak tahun 2012, mempunyai banyak pengalaman dalam pengendalian hubungan ASEAN-China. Oleh yang demikian, beliau diyakini mampu mengoptimumkan fungsi ACC.

Walaupun ACC satu organisasi yang masih muda, tetapi perkembangannya pesat sehingga membolehkannya mencapai prestasi cemerlang khususnya dari segi manfaat dan kepentingan sesama China-ASEAN. Dato' Zainuddin berkata, pihaknya akan terus memberi sokongan kepada ACC yang diketuai oleh Yang, di samping bersedia membicarakan isu-isu berhubung peningkatan hubungan ASEAN-China dengan pusat tersebut.

Jelaslah, harapan yang disandarkan pada setiausaha agung baharu itu untuk membawa perubahan dan mewujudkan pembangunan menggunung tingginya. Menurut Yang, ACC selaku pusat sehenti maklumat dan aktiviti, komited untuk terus mempromosikan kerjasama China-ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, kebudayaan dan pelancongan.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China