Cari:
Kuil Erawan Dibuka Semula
2015-08-20 15:03:45 CRI Cetak

Kuil Erawan di pusat bandar Bangkok, Thailand yang menjadi sasaran pengeboman pada malam Isnin lalu yang meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa dan mencederakan lebih 120 lain, dibuka semula kepada orang awam pagi semalam. Pihak berkuasa sedang giat memburu suspek lelaki yang dikesan menerusi rakaman video.

Tempat ibadat yang juga tarikan pelancong itu kembali dibuka selepas kerja pembersihan sisa ledakan selesai dijalankan. Kuil itu mengalami sedikit kerosakan yang dapat dilihat pada salah satu patung dewa Hindu, Brahma yang ditempatkan di kuil terbabit. Orang ramai dan pengunjung mengambil kesempatan berkunjung ke kuil tersebut untuk mengadakan upacara keagamaan dan memberi penghormatan kepada mangsa-mangsa yang terkorban.

Pihak polis Thailand dilaporkan masih lagi giat mencari suspek dan dalang insiden tersebut yang turut mengorbankan tujuh warga China, lima rakyat Malaysia serta beberapa lain dari Filipina, Singapura dan sebagainya. Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha menyifatkan serangan di kuil berkenaan sebagai "insiden terburuk pernah berlaku di negara ini" dan berjanji memburu suspek yang melakukannya.

Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang warga asing yang disyaki meletupkan bom di daerah komersial Ratchaprasong, malam kelmarin. Pihak polis percaya suspek itu tidak bertindak sendirian dan menerima bantuan daripada seseorang. Sementara itu, Ketua Polis Thailand, Pol Jen Somyot Pumpanmuang mengumumkan kerajaan menawarkan ganjaran sejuta baht (RM100,000) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek berkenaan.

Dalam pada itu, pihak polis dan tentera meningkatkan tahap pengawasan keselamatan terutama di kawasan tarikan pelancong, jalan-jalan utama, lapangan terbang dan sebagainya di bandar Bangkok sejak malam 17 Ogos lalu.

Selain itu, kerajaan Thai telah mengumumkan prosedur permohonan tuntutan pampasan. Difahamkan, mangsa warga asing serta anggota keluarga mereka boleh mengemukakan permohonan berkenaan kepada Kementerian Kehakiman Thailand dan Kementerian Pelancongan dan Sukan negara itu.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China