Cari:
Komuniti ASEAN Corak Masa Depan Kerjasama Asia Timur
2016-02-17 13:57:04 CRI Cetak

Duta Besar China ke ASEAN, Xu Bu menilai tinggi Komuniti ASEAN yang ditubuhkan secara rasminya pada 31 Disember 2015, iaitu batu tanda signifikan dalam proses integrasi ASEAN, sebagai pemangkin untuk memperkukuh dan melonjakkan kerjasama Asia Timur ke tahap yang lebih tinggi. Beliau ketika diwawancara China News Service (CNS) baru-baru ini menyatakan bahawa Komuniti ASEAN merangka hala tuju perpaduan sepuluh negara Asia Tenggara dalam tonggak-tonggak komuniti politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya dalam tempoh sedekad akan datang. Dengan pembentukan Komuniti ASEAN, jelas peranan dan kedudukan ASEAN dalam isu-isu serantau dapat lebih diperkukuh, dan suara ASEAN di persada antarabangsa akan kedengaran lebih lantang.

Output ekonomi ASEAN dijangka meningkat kepada USD 4.7 trilion (MYR 19.77 trilion) menjelang tahun 2020 berbanding USD 2.5 trilion (MYR 10.51 trilion) sekarang. Peningkatan yang memberangsangkan ini membolehkan ASEAN merangkul kedudukan keempat daripada tempat ketujuh dalam ranking dunia. Menjelang 2030, jumlah golongan kelas menengah di rantau itu akan meningkat kepada 163 juta orang. Selaku entiti ekonomi yang paling muda dan paling dinamik di dunia, ASEAN jelas mempunyai potensi besar dari segi ekonomi yang berkaitan dengan eksport dan import, pengaliran buruh dan modal serta suasana pelaburan dan kemudahan perdagangan.

Ketika memperkatakan tentang pengaruh pembentukan Komuniti ASEAN terhadap China, Xu Bu menganggap, ini merupakan peluang bagi ASEAN sendiri, malah kesempatan bagi China dan negara-negara rakan dialog ASEAN yang lain. Dengan adanya komuniti itu, perbincangan isu-isu semasa berkaitan politik akan dapat dilakukan secara rancak; ikatan kerjasama berhubung ekonomi akan dapat diperkasakan; manakala kegiatan interaksi budaya di kalangan rakyat pula akan dirapatkan. Situasi ini bukan sahaja bermanfaat bagi China dan ASEAN bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan serantau, malah juga merangsang pelaksanaan kerjasama yang lebih erat sesama negara Asia Timur dalam konteks pembangunan bersama.

ASEAN yang mempunyai hampir 650 juta penduduk yakni 10% daripada jumlah penduduk dunia, jelas mampu berperanan besar mencorakkan masa hadapan global dan serantau selain berpotensi sebagai pasaran ekonomi yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan bersama. Tahun ini adalah ulang tahun ke-25 terjalinnya hubungan dialog China-ASEAN. Xu Bu berharap agar pihak-pihak terbabit dapat memanfaatkan kesempatan ini untuk menumbuhkan rasa saling percaya dan menyemarakkan semangat kejiranan demi menubuhkan Komuniti Berkongsi Masa Depan China-ASEAN yang lebih erat.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China