Cari:
Masyarakat Antarabangsa Iktiraf Hak Kedaulatan China terhadap Kepulauan Nansha
2016-04-29 11:17:21 CRI Cetak
Kes timbang tara yang dibangkitkan oleh Filipina secara sepihak berhubung dengan pertikaian di Laut China Selatan pada Januari 2013 berniat untuk menyangkal hak kedaulatan China terhadap Kepulauan Nansha, dan bertujuan untuk membolehkan Filipina menduduki secara haram beberapa pulau dan terumbu karang di Kepulauan Nansha dari segi undang-undang. Campur tangan yang dimainkan oleh negara-negara barat di belakang kes itu semakin menonjol pada ketika Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague dijangka membuat keputusan akhir terhadap kes tersebut tidak lama lagi. Sekumpulan peguam dari Amerika Syarikat (AS) yang terlibat untuk membimbing kes timbang tara tersebut boleh dikatakan dalang utama di sebalik kes itu. Shunji Yanai dari Jepun, Presiden Tribunal Undang-Undang Laut Antarabangsa (ITLOS) juga terlibat secara aktif dalam kes tersebut tanpa mempertimbangkan terdapat pertikaian kedaulatan wilayah dan persempadanan laut di perairan Laut Timur antara China dengan Jepun. AS dan Jepun sentiasa menyatakan bahawa mereka bersikap neutral dalam isu Laut China Selatan, namun tindakan kedua-dua negara tersebut pada hakikatnya menyokong tindakan Filipina mencabuli hak kedaulatan China. Ironinya ialah AS dan negara-negara Barat yang sentiasa menjunjung prinsip keadilan dalam isu Laut China Selatan membelakangi komitmen mereka pada akhirnya.

Negara yang paling awal mencabuli hak kedaulatan China terhadap Kepulauan Nansha bukanlah negara jiran China, tetapi negara Barat. Pada tahun 1933, kerajaan Perancis mengeluarkan kenyataan untuk "menduduki" beberapa pulau dan terumbu karang di Kepulauan Nansha. Hal tersebut mencetuskan "Kejadian sembilan pulau" dalam sejarah. Pada tahun 1939, Jepun menghantar anggota tentera untuk menduduki beberapa pulau di Kepulauan Nansha dalam perang pencerobohan terhadap China. Seiring dengan perkembangan situasi perang anti-Fasis seluruh dunia dan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun, Deklarasi Kaherah yang dikeluarkan oleh China, AS dan Britain pada tahun 1943 dan Perisytiharan Potsdam yang dikeluarkan pada tahun 1945 telah mengemukakan orde antarabangsa pascaperang, dengan jelas menyatakan bahawa Jepun mesti mengembalikan wilayah kedaulatan China yang diduduki oleh negara itu kepada China. Pada tahun 1946 hingga 1947, angkatan tentera Jepun di pulau-pulau Laut China Selatan telah menyerah kalah kepada angkatan tentera China di Pelabuhan Yulin, provinsi Hainan China. Maka, pulau-pulau di Laut China Selatan termasuk Kepulauan Nansha dikembalikan semula kepada China dan tentera China juga ditempatkan di Kepulauan Nansha. Pengembalian Kepulauan Nansha kepada China merupakan komponen utama dalam orde antarabangsa pascaperang. Berdasarkan perspektif tersebut, mana-mana tindakan yang berniat untuk menafikan kedaulatan China terhadap Kepulauan Nansha merupakan tindakan yang mencabar fakta sejarah dan juga menjejaskan order antarbangsa pascaperang.

Pada hakikatnya, hak dan kepentingan China terhadap Laut China Selatan tidak dipersoalkan oleh mana-mana negara, sebaliknya diakui oleh masyarakat antarabangsa termasuk AS, Jepun dan Perancis dalam jangka masa yang panjang selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua (WWII).

Sebagai negara sekutu China dalam WWII, AS menyokong China mendapatkan semula pulau-pulau di Laut China Selatan. Pada tahun 1946, kapal perang yang digunakan oleh kerajaan China untuk mengambil balik Kepulauan Nansha adalah disediakan oleh AS. Pada tahun 1956 dan 1960, tentera laut AS pernah mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa Taiwan (sebelum penormalan hubungan diplomatik China dan AS pada tahun 1979, AS hanya mengiktiraf pemerintahan Parti Kuomintang (KMT) yang mewakili China) untuk mengizinkan kapal peninjau menjalankan operasi di kawasan perairan Laut China Selatan dan telah memperoleh kebenaran daripada pihak berkuasa Taiwan. Pada tahun 1950, tentera pihak berkuasa Taiwan di Pulau Taiping menerima kunjungan Kapten Tentera Darat AS, Marlyn Lacy dengan dua anggota tentera AS yang lain untuk mencari pesawat yang terlibat dalam nahas udara dan mayat kru di pulau tersebut. Tindakan jabatan diplomatik dan ketenteraan AS itu menunjukkan bahawa AS menyedari dan menghormati kedaulatan China terhadap Kepulauan Nansha dan merupakan bukti penting pengiktirafan AS terhadap China di kepulauan tersebut. Pada masa yang sama, antara atlas-atlas dan buku-buku yang diterbitkan oleh AS, seperti The Columbia Lippincott Gazetteer of the World yang diterbitkan pada tahun 1961, Worldmark Encyclopedia of The Nations yang diterbitkan pada tahun 1963 dan World Administrative Divisions Encyclopaedia yang diterbitkan pada tahun 1971 masing-masing mengesahkan kedaulatan China terhadap pulau-pulau di Laut China Selatan.

Selepas Jepun menyerah kalah, Mesyuarat Perjanjian Damai San Francisco mengenai Jepun yang diadakan pada tahun 1951 menetapkan bahawa Jepun harus melepaskan segala hak dan tuntutan terhadap Kepulauan Nansha dan Xisha. Pada tahun 1952, kerajaan Jepun secara rasmi menyatakan bahawa negaranya "melepaskan segala hak dan tuntutan terhadap Taiwan, gugusan pulau Penghu, Kepulauan Nansha dan Xisha". Hubungan diplomatik antara China dengan Jepun telah terjalin semula pada tahun 1972. Menurut Kenyataan Bersama China-Jepun yang dikeluarkan oleh kerajaan kedua-dua negara, Jepun berjanji mematuhi fasal kelapan yang ditetapkan dalam Perisytiharan Potsdam. Standard World Atlas yang diterbitkan oleh Syarikat Buku Pendidikan Kebangsaan Jepun pada tahun 1952 jelas menunjukkan bahawa pulau-pulau di Laut China Selatan merupakan wilayah China. Okazaki Kzuo, Menteri Luar Jepun pada masa itu telah menurunkan tandatangan pada halaman pendahuluan untuk mempromosikan atlas tersebut. Dokumen-dokumen tersebut mencatat pemahaman Jepun terhadap susunan wilayah berkenaan selepas WWII dan membuktikan Jepun mengiktiraf pulau-pulau di Laut China Selatan adalah kepunyaan China selepas WWII. Selain itu, antara terbitan tahunan dan atlas yang diterbitkan di Jepun sekitar 1960-an dan 1970-an masing-masing mengakui hak kedaulatan China terhadap pulau-pulau di Laut China Selatan, seperti Yearbook of New China yang diterbitkan pada tahun 1966, Yearbook of the World yang diterbitkan pada tahun 1972, Atlas of China yang diterbitkan oleh penerbit Heibonsha pada tahun 1973 dan Yearbook of the World yang diterbitkan oleh Agensi Berita Kyodo pada tahun 1979.

Selaku negara yang pernah menduduki pulau dan terumbu karang di Kepulauan Nansha China, Perancis tidak mengemukakan tuntutan terhadap Kepulauan Nansha dalam proses rundingan Perjanjian Damai San Francisco selepas WWII. Hal ini turut menunjukkan bahawa kerajaan Perancis tidak menganggap negaranya mempunyai hak terhadap pulau-pulau di Laut China Selatan. Selepas Perjanjian Damai San Francisco dimeterai, beberapa diplomat Perancis menjelaskan pendirian mereka terhadap isu hak kedaulatan pulau-pulau di Laut China Selatan. Pada 9 Jun 1956, Menteri Kaunselor Perancis ke Filipina menyatakan bahawa beliau berpendapat dakwaan yang Perancis menyerahkan pulau-pulau di Laut China Selatan kepada Vietnam berdasarkan Perjanjian Geneva pada tahun 1954 adalah tidak berasas. Pada 2 Mac 1977, Sener, Konsul Jeneral Perancis ke Hong Kong pula menyatakan bahawa Kepulauan Nansha tidak pernah menjadi kepunyaan Vietnam. Selain itu, Atlas International Larousse Politique et Economique yang diterbitkan di Perancis pada tahun 1956 ada menyebut, Kepulauan Dongsha, Nansha dan Zhongsha adalah kepunyaan China. Terdapat catatan dalam World Map Ordinary yang diterbitkan oleh Institut Geographique National (IGN) Perancis pada tahun 1968 dan Atlas International Larousse yang diterbitkan di Paris pada tahun 1969 yang menyatakan bahawa Kepulauan Nansha adalah wilayah China. Atlas tersebut menggambarkan pandangan Perancis terhadap isu kedaulatan pulau-pulau di Laut China Selatan.

Selain itu, Britain, Jerman, bekas Kesatuan Soviet dan Romania juga telah menerbitkan peta serta ensiklopedia yang melabel dan mencatat pulau-pulau di Laut China Selatan merupakan wilayah China. Sejarah tidak akan menipu kita kerana dokumentasi negara-negara tersebut dengan jelas menunjukkan konsensus masyarakat antarabangsa pada masa itu yang mengiktiraf hak kedaulatan China terhadap pulau-pulau di Laut China Selatan, dan membantu membuktikan bahawa hak kedaulatan China terhadap pulau-pulau tersebut tidak boleh dipertikaikan. Kini, sebarang niat dan pendirian yang menyangkal hak kedaulatan dan kepentingan China terhadap Laut China Selatan merupakan satu kejahilan yang mengabaikan fakta sejarah atau sengaja menjadi pelupa sejarah.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China