Cari:
Kajian Dijalankan bagi Teliti Kesan Jerebu 2015 terhadap ASEAN
2016-05-05 14:36:32 CRI Cetak

Lima negara anggota ASEAN antaranya Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Thailand sebulat suara bersetuju untuk menjalankan satu kajian bagi meneliti dan mengkaji kesan ekonomi, kesihatan dan sosial akibat jerebu yang melanda Asia Tenggara pada tahun lepas.

Menteri Sekitaran dan Sumber Air Singapura, Masagos Zulkifli, selepas berakhirnya Mesyuarat ke-18 bagi Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Serantau ASEAN (MSC) mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang diadakan di republik itu semalam, menyatakan bahawa hasil mesyuarat itu mustahak berikutan satu persefahaman awal dicapai mengenai perkongsian maklumat titik panas yang muncul akibat kebakaran hutan oleh kelima-lima negara tersebut. Mengulas lebih lanjut mengenai kajian itu, Masagos berkata, selain dengan matlamat untuk mengkaji kesan jerebu tahun lalu, kajian berkenaan disarankan untuk membantu negara-negara yang terjejas akibat jerebu mengumpul pelbagai maklumat demi mengetahui keadaan kerugian ekonomi di negara masing-masing. Sebagai contoh, Singapura akan mengkaji kesan jerebu ke atas industri pelancongan, sementara Indonesia lebih memfokuskan kepada kemerosotan pada hasil tuaian.

Jerebu adalah masalah berpanjangan yang memeningkan negara-negara di rantau ASEAN. Aktiviti penebangan dan pembakaran untuk penanaman yang dilakukan syarikat dan individu di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan pencemaran yang semakin teruk dan ancaman kesihatan awam di negara itu. Kesan yang serupa turut terpalit kepada Singapura dan Malaysia, mengakibatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) kedua-dua negara tersebut sentiasa berada pada tahap tidak sihat malah tahap berbahaya.

Pembukaan hutan untuk pertanian komersial yang dilakukan kerajaan Indonesia semenjak 1990-an telah menyebabkan kerugian ekonomi benilai berbilion dolar Amerika kepada negara-negara Asia Tenggara. Menurut laporan terkini terbitan Bank Dunia (WB), Indonesia mengalami kerugian sebanyak USD 16 bilion (RM 64 bilion) ekoran kebakaran hutan pada Jun hingga Oktober lalu. Angka itu merupakan 1.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara itu. Singapura pula kehilangan pendapatan sebesar USD 500 juta (RM 2,002 juta) akibat jerebu.

Pada mesyuarat itu, pegawai-pegawai dari kelima-lima negara tersebut berjanji akan berwaspada dan memberi perhatian kepada risiko jerebu, serta komited melaksanakan langkah mencegah, memantau dan mengurangkan pencemaran jerebu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China