Cari:
Nelayan China, Peneroka Awal Kepulauan Nansha
2016-05-05 11:30:07 CRI Cetak

Kepulauan Nansha terletak di sebelah selatan garisan Sartan dan utara garisan khatulistiwa.

Kawasan perairan itu kaya dengan sumber laut dan sumber tropika. Nelayan China sudah lama menangkap ikan di Laut China Selatan.

Kawasan perairan Kepulauan Nansha sudah diteroka oleh nelayan China sejak zaman dahulukala. Pada zaman Dinasti Ming (1368-1644) dan Qing (1616-1912), nelayan China yang menangkap ikan di kawasan perairan Kepulauan Nansha disebut sebagai "zuohai".

Kebanyakan nelayan yang menangkap ikan di kawasan perairan tersebut adalah dari kaunti Wenchang dan Qionghai di provinsi Hainan.

Terdapat seorang jurumudi bot nelayan yang terkenal pada zaman itu bernama Meng Quanzhou (lahir pada tahun 1884). Beliau tinggal di Kampung Qifeng pekan Puqian kaunti Wenchang, provinsi Hainan.

Beliau lebih popular dengan panggilan "hongzuigong". Moyangnya, Meng Binwen telah menangkap ikan di kawasan perairan Kepulauan Xisha dan Kepulauan Nansha sejak zaman pemerintahan Maharaja Jia Qing (1796-1820).

Empat generasi keluarga itu semuanya mencari rezeki sebagai nelayan.

Meng Binwen atau dikenali sebagai "hongzuigong" telah mengemudi botnya untuk menangkap hasil laut di Pulau Zhongye, Pulau Nanyao, Pulau Mahuan, Pulau Taiping, Pulau Hongxiu dan Pulau Nanwei.

Nelayan biasanya mencari siput, timun laut, penyu dan kima.

Pada asalnya, nelayan hanya mengambil isi siput, manakala kulitnya dibuang.

Pada akhir zaman Dinasti Qing, kulit siput mula digunakan sebagai bahan pewarna papan keluli.

Mencari siput dan mengambil kulitnya mula menjadi kerja yang penting bagi nelayan China di Kepulauan Nansha.

Selain menangkap ikan, nelayan China telah membina rumah kayu, bilik bawah tanah, tempat sembahyang serta menggali perigi dan menanam pokok kelapa, pisang dan sayur-sayuran di pulau-pulau tersebut.

Tanah di Kepulauan Nansha agak subur. Pokok kelapa biasanya mengeluarkan hasil dalam tempoh beberapa tahun sahaja, manakala ubi keledek pula seberat 9 kilogram. Sebahagian besar nelayan China menetap di pulau-pulau tersebut.

Setelah meninggal dunia, mereka biasanya disemadikan di pulau tersebut. Di Pulau Beizi, Kepulauan Nansha masih terdapat dua buah makam penduduk China pada zaman Dinasti Qing.

Daripada satu generasi kepada satu generasi, para nelayan China telah mengumpulkan banyak pengetahuan dan pengalaman tentang pelayaran, iklim, kedalaman air, topografi dan lokasi air tawar di Kepulauan Nansha.

Mereka telah membentuk tradisi menangkap hasil laut serta menguasai teknik pelayaran di kawasan perairan tersebut.

Buku Genglubu yang sudah bersejarah lebih 600 tahun telah dihasilkan oleh nelayan China sejak turun-temurun.

Buku itu mencatat, menamai dan menetapkan lokasi beberapa pulau dan terumbu serta laluan pelayaran dan kawasan menangkap ikan di kawasan perairan tersebut.

Buku itu menjadi bukti paling penting bagi menunjukkan bahawa nelayan China adalah yang paling awal meneroka dan memanfaatkan Kepulauan Nansha.

Catatan negara asing pula merakamkan operasi pengeluaran dan kehidupan para nelayan China di Kepulauan Nansha.

Dalam bab "Laluan Pelayaran Utama ke China" yang terkandung dalam Panduan Laut China yang diterbitkan pada tahun 1968 telah tercatat sebuah pulau yang disebut sebagai Pulau Chenggou oleh nelayan.

Pulau itu sejauh 30 batu nautika dari selatan "nanyi".

Nelayan menjadikan aktiviti mencari siput dan timun laut di pulau-pulau tersebut sebagai punca pendapatan dan terdapat sebahagian daripada mereka menetap di situ.

Menurut catatan tentang Terumbu Chenggou dalam Panduan Laut China, nelayan dari Hainan, China mencari timun laut dan siput di beberapa buah pulau.

Terdapat nelayan menetap di terumbu tersebut. Pada bulan Disember hingga Januari setiap tahun, terdapat kapal yang berangkat dari Hainan belayar ke pulau dan terumbu tersebut untuk menukarkan timun laut dan siput daripada para nelayan dengan beras dan barang-barang keperluan harian yang lain.

Kapal tersebut akan pulang ke Hainan sebelum angin dari arah barat daya mula bertiup.

Menurut catatan tentang Terumbu Kembar, kedua-dua terumbu itu ditumbuhi rumput. Terdapat pokok kecil di bahagian timur laut terumbu tersebut.

Selain itu, terdapat sebuah perigi di bahagian timur laut terumbu itu. Nelayan mengambil air dari perigi tersebut untuk dijadikan minuman.

Terdapat juga catatan tentang pokok kelapa dan pisang di Pulau Taiping dan Pulau Zhongye.

Apabila Pasukan Eksplorasi Okura Unosuke Jepun menjejakkan kaki di Kepulauan Nansha pada Disember 1918, mereka terkejut kerana menemui penduduk dari Haikou, kaunti Wenchang, provinsi Hainan, China yang tinggal di Pulau Beizi.

Selain itu, mereka telah menemui kompas dan peta Kepulauan Nansha.

Menurut catatan berkenaan, sekumpulan nelayan China yang terdiri daripada 300 orang selalu menangkap ikan di kawasan perairan tersebut.

Menurut laporan akhbar Perancis, di tengah-tengah kepulauan antara Kepulauan Annan dengan Kepulauan Filipina, terdapat sekelompok terumbu dan gugusan pulau-pulau. Keadaan di kawasan perairan itu agak rumit dan mencabar.

Terdapat nelayan China yang menetap dan menjalankan aktiviti perikanan di kawasan kepulauan tersebut.

Pada tahun 1933, Perancis menduduki sembilan buah pulau di Kepulauan Nansha. Akhbar China tetap melaporkan kehidupan nelayan China di kepulauan tersebut.

Akhbar Shenbao China yang bertarikh 31 Julai telah menyiarkan laporan tentang sembilan pulau kecil di selatan Qiongya sebagai wilayah China.

Berpuluh-puluh nelayan dari provinsi Guangdong dan Fujian, China menangkap ikan di pulau tersebut secara bergilir-gilir.

Bahasa dan adat resam penduduk di pulau-pulau tersebut serupa dengan penduduk di Pulau Hainan.

Menurut rencana "Pulau-Pulau di Laut China Selatan Yang Dikehendaki oleh Perancis dan Jepun", yang ditulis oleh Hu Huanyong, hanya penduduk China sahaja yang menetap di sembilan buah pulau tersebut.

Terdapat tujuh orang, termasuk dua kanak-kanak menetap di Pulau Nanzi, manakala lima orang lagi tinggal di Pulau Zhongye.

Pulau Nanwei pula dihuni oleh empat orang dan bertambah seorang berbanding dengan tahun 1930. Terdapat bekas tempat sembahyang, perigi dan rumah yang dibina oleh penduduk China di Pulau Nanyao.

Tiada penduduk yang menetap di Pulau Taiping, namun terdapat tugu yang terukir bahasa Mandarin di pulau tersebut.

Keadaan ini membuktikan bahawa nelayan China tidak pernah menghentikan aktiviti di pulau-pulau tersebut sejak tahun 1867.

Dokumen dari dalam dan luar negara sekali lagi membuktikan bahawa nelayan China yang rajin, bijak dan berani yang telah meneroka Kepulauan Nansha sejak zaman pemerintahan Dinasti Ming.

Merekalah tuan pulau-pulau tersebut.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China