Cari:
Fakta Sejarah Filipina Duduki Terumbu Karang Ren'ai Secara Haram
2016-05-10 14:40:30 CRI Cetak

Terumbu Karang Ren'ai, salah satu atol yang terletak di Kepulauan Nansha China, panjangnya 15 kilometer dari utara ke selatan, lebarnya 5.6 kilometer dari barat ke timur.

Terumbu Karang Ren'ai yang merupakan sebahagian daripada Laut China Selatan, ialah wilayah China sejak zaman dahulu.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang diketuai Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara terhadap Kedutaan Besar China di Yugoslavia pada 8 Mei 1999.

Pada keesokan harinya, ketika rakyat China masih berada dalam kesedihan berikutan tragedi tersebut, kapal pendarat kereta kebal No. 57 tentera laut Filipina telah menduduki Terumbu Karang Ren'ai secara haram.

Filipina memberikan penjelasan bahawa perkara tersebut adalah "kegagalan teknikal" kerana berlaku kebocoran di bahagian bawah kapal tersebut sehingga terpaksa berlabuh di sebelah barat laut Terumbu Karang Ren'ai.

Kementerian Luar China dan Kedutaan Besar China di Filipina sering kali menggesa Filipina segera membawa balik kapal tersebut. Filipina berjanji untuk menunda kapal tersebut dan berikrar tidak akan membina sebarang kemudahan di terumbu karang itu.

Namun begitu, Filipina bukan sahaja tidak mengundurkan kapal itu dengan alasan "kekurangan alat-alat ganti", malah cuba untuk mengangkut besi dan simen untuk mendirikan kemudahan tetap di Terumbu Karang Ren'ai.

Kapal pengawal pantai China mendapati kapal pendarat kereta kebal No.57, yang menduduki Terumbu Karang Ren'ai secara haram, telah mengelilingi terumbu tersebut dengan menggunakan tali kabel. Kerap kali juga dikesan aktiviti di atas kapal tersebut yang merupakan persediaan untuk membina kemudahan di sana.

China berulang kali membuat bantahan terhadap Filipina. Namun Filipina tetap menyatakan bahawa pihaknya hanya menambah bekalan dan membaiki kapal tersebut serta tidak berniat untuk mendirikan kemudahan di terumbu karang tersebut.

Filipina menegaskan bahawa negara itu ialah pemateri Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkaitan di Laut China Selatan (DoC) dan pihaknya tidak mahu menjadi pihak pertama yang melanggar DoC tersebut.

Walau bagaimanapun, Filipina tidak menunaikan janji dan terus menduduki Terumbu Karang Ren'ai secara haram selama berbelas-belas tahun.

Pada awal Mac 2014, Polis Maritim China berjaya menghalang dua buah kapal Filipina yang membawa muatan bahan-bahan binaan berlabuh di Terumbu Karang Ren'ai.

Setelah gagal membina kemudahan di Terumbu Karang Ren'ai, Filipina mengeluarkan kenyataan pada 14 Mac 2014 yang menyatakan bahawa kapal perangnya telah menduduki Terumbu Karang Ren'ai sejak tahun 1999. Penempatan kapal itu di Terumbu Karang Ren'ai adalah sebagai kemudahan tetap dan bertujuan untuk menduduki terumbu itu. Filipina diibaratkan membuka pekung di dada yang telah disimpan selama 15 tahun.

Filipina sekali lagi menghantar kapal ke Terumbu Karang Ren'ai pada 29 Mac 2014 untuk merumitkan isu Laut China Selatan.

Namun berbeza dengan tindakan pada awal bulan Mac 2014, Filipina hanya membawa bekalan keperluan harian dan menghantar askar untuk bertugas secara bergilir-gilir.

Filipina turut mengundang media dari dalam dan luar negara seperti Associated Press (AP) dan Agensi Berita AFP.

Wartawan berkenaan mendarat di atas kapal Filipina dan merakamkan konfrontasi antara kapal Filipina dengan Polis Maritim China.

Pada 31 Mac 2014, Jabatan Negara AS mendakwa China melakukan provokasi dan menjejaskan kestabilan situasi serantau, serta menyatakan sokongan terhadap negara sekutunya, dengan menyebut "Filipina sudah menjejakkan kaki di Terumbu Karang Ren'ai sejak tahun 1999, China sepatutnya membenarkan Filipina terus mengekalkan kehadiran mereka di terumbu itu."

Sehingga kini, Filipina masih terus melakukan pelbagai tindakan provokasi di Terumbu Karang Ren'ai, menjejaskan kedaulatan dan kepentingan laut China secara serius dan mengganggu keamanan serantau.

Filipina mengemukakan kes timbang tara isu Laut China Selatan secara sepihak dengan menyalahgunakan Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS), yang berniat untuk menafikan kedaulatan China di Kepulauan Nansha dan kepentingan laut China di Laut China Selatan. Tindakan tersebut tidak akan berjaya.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China