Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih baik pada 2017 dan 2018 didorong oleh pemulihan harga minyak dan eksport.
Ketua Ekonomi bagi Asia Timur dan Pasifik, Sudhir Shetty berkata, pemulihan itu disebabkan oleh peningkatan harga minyak tetapi kadar pertumbuhannya tidak sama seperti direkodkan pada 2014.
Katanya, Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2017 dan 2018 berupaya mencapai kadar melebihi paras empat peratus seperti yang disasarkan tahun ini. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu pada 2016 diunjur perlahan kepada 4.2 peratus berbanding sasaran awal 4.4 peratus yang dibuat pada April lalu.
Selain faktor minyak dan eksport perkilangan yang terjejas disebabkan permintaan global yang lemah, perbelanjaan sektor awam dan swasta juga dilihat perlahan.
Secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi negara membangun di Asia Timur dan Pasifik dijangka kekal berdaya tahan dalam tempoh tiga tahun akan datang, berkembang pada kadar 5.8 peratus tahun ini dan 5.7 peratus pada 2017-2018.
(Sumber Utusan Malaysia)