Cari:
Lebih 2,000 Lokasi Diaktifkan dengan Perkhidmatan 3G Sejak 2010
2016-10-25 17:54:09 CRI Cetak

Sebanyak 2,963 lokasi di seluruh Malaysia telah diaktifkan dengan perkhidmatan jalur lebar mudah alih 3G sejak tahun 2010.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, kerajaan telah membina menara komunikasi baharu dan menaik taraf menara sedia ada melalui program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), bagi penambahbaikan kualiti perkhidmatan telekomunikasi dan liputan 3G.

Selain itu, tambahan 1,008 lokasi sedang dalam pelaksanaan di seluruh negara dan dijangka siap secara berperingkat sehingga akhir 2017.

Beliau menjawab soalan Datuk Wilson Ugak Kumbong (BN-Hulu Rajang) yang bertanyakan langkah-langkah yang akan diambil bagi menangani masalah rangkaian telekomunikasi di mana pengguna menghadapi kesukaran berhubung.

Sementara itu, bagi liputan jalur lebar mudah alih 4G pula, Salleh berkata, peluasan liputan sedang giat dilaksanakan di seluruh negara dengan tumpuan di bandar-bandar utama, kecil dan pertengahan.

Katanya sehingga kini, peratusan liputan populasi 4G telah meningkat kepada 63 peratus dan usaha ini akan terus diperluaskan ke kawasan lain termasuk ke kawasan luar bandar secara berperingkat sehingga 2020.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) mengenai kelewatan pelaksanaan projek jalur lebar di Sarawak, khususnya Bintulu, Salleh berkata, kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri penting dalam memastikan projek telekomunikasi berjalan dengan lancar.

(Sumber dari BERNAMA)

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China