Indonesia akan terus bekerjasama dengan Kedutaan Besar China di Indonesia dalam usaha memelihara keselamatan pelancong China di Indonesia, di samping melindungi hak dan kepentingan mereka yang sah.
Sementara itu, pihak Indonesia juga akan menyediakan lebih banyak kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik.
Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Arief Yahya berkata demikian ketika bertemu dengan Duta Besar China ke Indonesia, Xie Feng kelmarin.
Arief berkata, China telah menjadi negara sumber pelancong asing yang terbesar bagi Indonesia.
Indonesia amat berterima kasih kerana China sentiasa berusaha memperkasakan kerjasama bilateral dalam sektor pelancongan.
Pihaknya berharap dapat meningkatkan kerjasama dengan China dalam program latihan kepada pemandu pelancong yang fasih berbahasa Mandarin, membuka laluan penerbangan tanpa henti dengan lebih banyak serta kerjasama pelaburan China ke Indonesia.
Xie berkata, jumlah pelancong China ke luar negara dijangka akan mencatat 700 juta orang dalam tempoh 5 tahun akan datang, secara purata 140 juta orang setahun. Kebanyakan mereka akan melancong ke negara jiran.
Bilangan pelancong China ke Indonesia masih mempunyai ruang untuk meningkat kerana kerjasama pelancongan bilateral berpotensi besar.
Xie berharap Kementerian Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Indonesia akan terus berusaha menjamin kelancaran laluan keluar masuk Indonesia, menjamin keselamatan, hak dan kepentingan pelancong China yang sah, di samping menyediakan lebih banyak pakej pelancongan yang memenuhi keperluan pelancong China.