Presiden China, Xi Jinping mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Myanmar, Htin Kyaw di Beijing semalam.
Dalam rundingan itu, pemimpin kedua-dua negara bersetuju untuk memperkasakan hubungan dua hala yang sihat dan stabil berdasarkan prinsip saling menghormati dan saling menguntungkan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
Xi berkata, China mengutamakan hubungan dengan Myanmar dan bersedia bekerjasama dengan Myanmar untuk meningkatkan lagi taraf kerjasama strategik secara menyeluruh.
China juga bersedia meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan dengan Myanmar, dan mengintensifkan kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan, pelaburan, infrastruktur, sumber tenaga, pertanian dan kewangan, selain mempercepat pelaksanaan pelbagai projek kerjasama utama termasuk pembangunan zon ekonomi khas di Kyaukpyu.
Htin Kyaw pula berkata, pihaknya menyokong dan bakal aktif mengambil bahagian dalam inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R), di samping berusaha menjayakan program kerjasama dua hala yang penting dalam pembinaan infrastruktur dan zon kerjasama ekonomi di kawasan sempadan.
Selepas rundingan itu, pemimpin kedua-dua negara telah menyaksikan penandatanganan siri dokumen kerjasama yang melibatkan bidang ekonomi, teknologi, perubatan, kesukanan, pengangkutan, perhutanan dan tinggalan budaya.