Cari:
Singapura Wujudkan Bank Susu Ibu
2017-08-18 10:06:58 CRI Cetak

Bank susu ibu diwujudkan di Singapura. Golongan ibu yang tidak cukup susu badan untuk diberikan kepada bayi mereka terutamanya yang dilahirkan pramatang atau sakit kini boleh mendapatkan bekalan menerusi bank itu.

Bank susu ibu yang dilancarkan oleh bekas Speaker Parlimen Singapura, Halimah Yacob semalam itu merupakan yang pertama diwujudkan di Singapura di bawah kerjasama Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dengan Temasek Foundation Cares.

Menurut portal berita Channel News Asia, yayasan tersebut memperuntukkan sebanyak S$1.37 juta (RM4.3 juta) untuk keperluan bank susu berkenaan yang akan berfungsi untuk me­ngumpul, memproses dan me­nyimpan kesemua susu ibu yang didermakan untuk kegunaan semasa.

KKH dan yayasan tersebut dalam satu kenyataan bersama memaklumkan bahawa pihaknya berharap dapat merekrut seramai 375 ibu untuk menderma susu ba­dan mereka.

Katanya, kesemua calon tersebut perlu menjalani pemeriksaan kesihatan yang ketat termasuk ujian HIV, hepatitis B dan C serta penyakit kelamin.

Program yang akan dilaksanakan untuk tempoh tiga tahun itu, dijangka memberi faedah kepada kira-kira 900 bayi yang menerima rawatan neonatal di KKH dan Hospital Universiti Singapura.

Kenyataan itu juga menyebut, terdapat kira-kira 350 bayi yang dilahirkan kurang berat badan menerima rawatan di semua hospital umum di negara itu.

Pengarah program tersebut, Dr. Chua Mei Chien berkata, kandungan lemak yang terdapat dalam susu ibu mampu mening­katkan pembentukan otak dan penglihatan bayi ke tahap yang lebih baik.

Menurut kumpulan pakar, susu ibu sangat penting untuk bayi pramatang ekoran mereka berisiko tinggi dijangkiti penya­kit berbahaya, selain golongan ibu memerlukan masa lama bagi menghasilkan susu yang mencukupi.

Pelancaran program itu me­nyaksikan Singapura menjadi antara 40 buah negara mempunyai bank susu ibu secara rasmi.

sumber: Utusan

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China