Cari:
Malaysia Hantar Pegawai Ke Madagascar Untuk Kenal Pasti Serpihan
2017-09-06 15:27:35 CRI Cetak

Malaysia menghantar pegawai Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ke Madagascar untuk membantu mengenal pasti satu serpihan yang mungkin berasal daripada pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan serpihan berkaitan pesawat yang hilang itu ialah sama ada Malaysia menghantar pegawainya ke sana atau serpihan berkenaan dihantar ke sini untuk dikenal pasti.

Bagaimanapun, kata beliau, berikutan dakwaan bahawa konsul kehormat Malaysia di Madagascar, Zahid Houseinaly Reza, yang membantu proses pengambilan serpihan yang terdampar di pulau itu dibunuh bulan lepas, maka pegawai berkenaan dihantar ke sana.

"Serpihan itu tidak dihantar ke sini, tapi kita menghantar pegawai ke sana," katanya kepada pemberita apabila ditanya tentang perkara itu selepas merasmikan sambutan Hari Maritim Sedunia 2017 di Kuala Lumpur Selasa lalu.

Liow juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tentang pembunuhan itu dan sebaliknya menyerahkannya kepada polis untuk menjalankan tugas mereka.

Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Beijing ke Kuala Lumpur. Kejadian ini dianggap misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia.

-- BERNAMA

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China