Cari:
Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 di Beijing
2017-10-20 14:11:27 CRI Cetak

Majlis Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 telah diadakan di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing semalam.

Turut hadir untuk meramaikan majlis itu termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, Duta Besar Malaysia ke China, Dato Zainuddin Yahya, Penyandang Kursi Pengajian Bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing (BFSU), Prof Datuk Dr. Awang Sariyan serta kira-kira 50 orang pelajar Malaysia.

Tan Sri Dr. Noorul dalam ucapannya menyatakan bahawa beliau berasa teruja dan terharu apabila menemui ramai pelajar China yang fasih bertutur bahasa Melayu. Beliau berkata, "kita perlu membuka pintu untuk pelajar-pelajar China untuk belajar di Malaysia, malah berikan laluan khas kepada mereka untuk belajar di Malaysia".

Dato Zainuddin pula menyifatkan majlis sambutan bulan bahasa kebangsaan ini sebagai satu lagi kegiatan tahunan yang penting, yang mampu memartabatkan bahasa kebangsaan. Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan pentingnya penguasaan bahasa-bahasa asing lain, terutamanya bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa perantaraan di peringkat antarabangsa.

Prof Datuk Dr. Awang dalam ucapan beliau telah mengimbau kembali perkembangan bahasa Melayu di China. Menurut beliau, kini lebih 10 buah universiti di China menawarkan program ijazah bahasa Melayu selama empat tahun, dan beberapa buah maktab serta sekolah menengah pula telah menawarkan bahasa Melayu sebagai salah satu mata pelajaran elektif yang penting.

Selain itu, Pusat Pengajian Bahasa Melayu BFSU dan kursi pengajian Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia di BFSU bukan sahaja melangkah ke hadapan dalam bidang bahasa, sastera dan budaya, bahkan telah melebarkan sayapnya untuk merancakkan forum kerjasama antara kedua-dua negara, khususnya meningkatkan persefahaman antara tamadun Melayu dengan tamadun China termasuk dalam pelaksanaan inisiatif Jalur dan Laluan (B&R).

Pelajar-pelajar Malaysia di Beijing juga memeriahkan majlis sambutan tersebut dengan persembahan tarian, nyanyian dan penyampaian sajak.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Periuk Besi Jadi Alat Muzik

• Padang Sesawi Saujana di Yili, Xinjiang
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China