Bilangan umat Islam di Yiwu, Provinsi Zhejiang amat kurang pada masa dahulu. Menurut statistik, jumlah penduduk etnik Hui yang beragama Islam hanya dua orang pada tahun 1953, dan jumlah tersebut bertambah kepada 11 orang pada tahun 1964 dan 19 orang pada tahun 1982.
Sejak tahun 1990-an, ramai umat Islam etnik Hui dan Uygur berhijrah ke Yiwu untuk berniaga dan membuka restoran Islam. Sejak tahun 1998, sejumlah besar usahawan Islam dari Pakistan, India dan Afghanistan datang ke bandar tersebut untuk memborong barang-barang. Selepas tahun 2000, jumlah usahawan Islam dari luar negara semakin bertambah di bandar tersebut. Mereka banyak menubuhkan syarikat dan menawarkan ramai penduduk yang beragama Islam berkhidmat sebagai penterjemah untuk mereka. Umat Islam yang semakin bertambah di Yiwu telah menyewa bilik di dua buah hotel untuk dijadikan surau sementara.
Pada tahun 2001, kerajaan Provinsi Zhejiang membina surau tetap di Hotel Honglou. Dengan bantuan Persatuan Islam China, pihak berkuasa Bandar Yiwu mengundang Ma Chunzhen dari Institut Islam China berkhidmat sebagai imam di surau tersebut.
Pada tahun 2002, ketika ekspo perdagangan diadakan di bandar tersebut, jumlah umat Islam yang berjemaah di surau tersebut mencatat lebih 500 orang. Surau yang kecil itu tidak dapat menampung begitu ramai jemaah. Pihak berkuasa bandar Yiwu telah memindahkan surau itu ke ruang yang luasnya 500 meter persegi di Jalan Nanmen dan menubuhkan jawatankuasa pentadbiran untuk mentadbir surau tersebut.
Ketika Ekspo Guangzhou diadakan pada April 2004, jumlah umat Islam yang berjemaah di surau lebih 2 ribu orang. Kerajaan memindahkan lagi surau itu ke ruang yang luasnya kira-kira 3 ribu meter persegi di Jalan Barat Jiangbin dan membina bangunan yang cantik. Sejak itu, surau di Yiwu telah dinaik taraf menjadi masjid.
Pada tahun 2005 hingga 2006, usahawan Islam dari luar negara yang berdagang di Yiwu bertambah dengan lebih pesat. Pada tahun 2007, kira-kira 7 ribu orang umat Islam dari Malaysia, Yemen, Arab Saudi, Iraq dan lain-lain menggunakan masjid Yiwu untuk solat berjemaah.
------Andika