Cari:
Delegasi Wakil NPC Etnik Tibet Lawat A.S.
2009-03-18 16:37:23 CRI Cetak

Delegasi yang terdiri daripada 5 orang wakil Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) dari Wilayah Autonomi Tibet telah mengadakan sidang akhbar di Kedutaan Besar China di A.S. semalam. Mereka memaklumkan perubahan yang berlaku di Tibet sejak pelaksanaan pembaharuan demokrasi sepanjang 50 tahun yang lalu dan pencapaian sosioekonomi wilayah itu pada masa ini. Inilah lawatan pertama wakil NPC dari Tibet ke luar negara.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Wilayah Autonomi Tibet yang juga jelmaan Buddha, Shingtsa Tenzinchodrak memberi taklimat tentang perkembangan Kongres Rakyat Wilayah Autonomi Tibet sejak ia ditubuhkan pada tahun 1965. Menurutnya, sistem kongres rakyat mejadikan rakyat tuan rumah di Tibet.

"Wakil dari etnik Tibet merupakan lebih 70% daripada seluruh wakil peringkat wilayah ini. Manakala, di peringkat kaunti, etnik Tibet mewakili 76% dan di peringkat pekan, 82%."

Setiausaha Parti Komunis China Cawangan Kampung Tama, Daerah Naqen, bandar Lhasa, Puan Kelzang Drolkar berkata bahawa sebagai wakil NPC di peringkat akar umbi, beliau sentiasa gigih berusaha untuk melaksanakan tanggungjawabnya, memberi keprihatinan terhadap kehidupan rakyat, dan menyuarakan hasrat dan harapan rakyat. Beliau berkata bahawa sejak pembaharuan demokrasi Tibet dijalankan, taraf hidup penduduk desa di sana terus meningkat, terutamanya pada beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kampung tempat saya tinggal sekarang jaraknya 1.5 kilometer dari Lhasa, dengan penduduknya 1772 orang dari 680 keluarga. Pada tahun ini, 230 keluarga telah berpindah ke rumah baru yang dibina oleh kerajaan. Purata luasnya rumah di kampung kami ialah 50 meter persegi bagi setiap orang. Rumah yang baru ini memperlihatkan seni bina etnik Tibet. Rumah ini lengkap dengan kemudahannya. Jalan, bekalan elektrik dan air juga telah sempurna disediakan. Kampung kami tidak berbeza dengan bandar Lhasa. Oleh sebab berhampiran dengan bandar Lhasa, penternak di kampung kami telah membangunkan pelbagai urusan perniagaan. Pendapatan bersih per kapita kami pada tahun lalu mencecah 6800 yuan RMB, lebih tinggi daripada purata seluruh Tibet."

Kelzang Drolkar menyatakan bahawa beliau telah menyertai Sidang ke-2 Jawatankuasa NPC Wilayah Autonomi Tibet ke-9 pada bulan Januari lalu. Para peserta dengan sebulat suara menetapkan tarikh 28 Mac sebagai Hari Peringatan Pembebasan Petani Hamba Tibet untuk memperingati pembaharuan demokrasi yang dilaksanakan di Tibet 50 tahun yang lalu. Selepas sidang tersebut berakhir, beliau membawa khabar itu kepada orang tua di kampungnya. Mereka yang pernah melalui kehidupan sebagai petani hamba amat menghargai kehidupan yang lebih baik pada masa ini.

Naib Ketua Jabatan Pentadbiran Nagqu, Garma Rinchen merupakan keturunan petani hamba. Beliau berkata bahawa penetapan hari tersebut amat bermakna, sama ada bagi mereka yang mengalami masa petani hamba itu, mahu pun bagi golongan muda.

"Hari Peringatan Pembebasan Petani Hamba amat bermakna untuk mendidik generasi muda tentang sejarah Tibet. Petani hamba yang dibebaskan daripada sistem ini menjadi tuan tanah Tibet yang baru. Ini amat bererti bagi kehidupan mereka. Misalnya, orang yang menerima pendidikan di Tibet 59 tahun yang lalu hanyalah berjumlah 5% daripada jumlah seluruh penduduk Tibet, kerana 95% penduduk di Tibet ketika itu tidak berhak untuk mendapat pendidikan. Jika Tibet terus ditadbir dengan sistem itu, saya tidak mungkin mendapat pendidikan, menjadi wakil NPC atau menjadi pemimpin mana-mana kawasan di Tibet."

Delegasi yang diketuai oleh jelmaan Buddha, Shingtsa Tenzinchodrak juga bertemu dengan pegawai kerajaan dan ahli kongres A.S. serta golongan akademik. Dalam pertemuan tersebut, Penolong Setiausaha Negara A.S., John Norris Jr menegaskan semula pendirian kerajaan A.S. tentang Tibet. Menurut beliau, pihaknya mengiktiraf Tibet sebagai sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada wilayah China, dan tidak menyokong isu "Kemerdekaan Tibet". Pelbagai pihak dari rakyat negara tersebut juga menyatakan bahawa interaksi dengan wakil NPC dari Tibet itu amat bermakna dan akan membantu mereka mengenal Tibet yang sebenarnya.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China