Cari:
Kereta Api Laju Permudah Perjalanan Rakyat China Sempena Tahun Baru China
2011-02-04 15:07:02 CRI Cetak

Pada tahun 2007, kumpulan pertama kereta api yang berkelajuan melebihi 200 kilometer sejam telah mula beroperasi di China. Setakat penghujung 2010, panjangnya landasan kereta api laju yang mencatat 8358 kilomoter di negara ini telah menduduki tempat pertama di dunia, lebih 30% daripada perbatuan keseluruhan perkhidmatan kereta api laju seluruh dunia.

Pada 11 Januari lalu, jadual waktu baru perkhidmatan kereta api seluruh negara telah dikeluarkan. Keupayaan pengangkutan sistem kereta api negara ini telah ditingkatkan dengan menambah kekerapan perkhidmatan kereta api laju di laluan Wuhan-Shanghai, Nanjing-Shanghai dan Nanjing-Hefei.

Timbalan Menteri Kereta Api, Encik Wang Zhiguo berkata, sejak musim perayaan Tahun Baru China bermula, sebanyak 1424 kali perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi telah disediakan setiap hari. Perkhidmatan kereta api laju ini mampu mengangkut lebih sejuta penumpang sehari, iaitu hampir 20% daripada kapasiti keseluruhan sistem kereta api negara ini. Rangkaian kereta api laju telah memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah kekurangan kemudahan kereta api di China.

Sempena musim perayaan Tahun Baru China 2011, kadar peningkatan keupayaan pengangkutan sistem kereta api telah mencipta rekod tertinggi, iaitu 12.5% dengan kapasiti sebanyak 6.2 juta orang sehari, meningkat 690 ribu orang berbanding tahun lepas.

Biasanya, dua hari sebelum Tahun Baru China merupakan masa yang paling sibuk bagi sistem kereta api di China. Namun, wartawan mendapati, dengan adanya lebih banyak perkhidmatan kereta api laju, penghantaran penumpang menjadi lebih lancar di Stesen Kereta Api Nanjing.

Petugas di stesen itu berkata, beroperasinya banyak laluan kereta api laju pada tahun ini telah meningkatkan keupayaan pengangkutan perkhidmatan kereta api. Walaupun jumlah penumpang sempena musim perayaan Tahun Baru China telah meningkat 30% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, akan tetapi kesesakan tidak berlaku di Stesen Kereta Api Nanjing seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pada masa ini, sepanjang 17 ribu kilometer landasan kereta api laju sedang dibina. Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, lebih banyak perkhidmatan kereta api laju akan mula beroperasi. Antara laluan yang akan dibuka tahun ini ialah laluan Beijing-Shanghai, Beijing-Wuhan dan Beijing-Haerbin. Dijangka, perbatuan keseluruhan kereta api di China akan mencecah 110 ribu kilometer menjelang tahun 2012, antaranya sistem kereta api laju sepanjang 13 ribu kilometer.

Setelah rangkaian kereta api laju siap dibina, perjalanan dari Beijing ke kebanyakan ibu kota provinsi negara ini akan mengambil masa kurang daripada 8 jam.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China