Cari:
Memahami PKC Kunci Mengenali China
2012-11-06 14:35:36 CRI Cetak

Diplomat asing menyertai siri aktiviti hari terbuka yang bertemakan "Mendekati PKC".

Beijing kini menjadi tumpuan seluruh dunia menjelang Kongres Kebangsaan Parti Komunis China (PKC) ke-18 yang bakal diadakan pada 8 November ini. Dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu, PKC yang sentiasa bersikap terbuka, telah menjalinkan hubungan dengan lebih 600 buah parti dan pertubuhan politik daripada lebih 160 buah negara. Dialog secara terbuka antara PKC dengan parti dan pertubuhan politik tersebut memperkasakan pemahaman mengenai konsep nilai dan sistem politik masing-masing, sekali gus menjadikan imej PKC sebagai parti politik yang telus dan terbuka semakin diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Sekolah Parti Jawatankuasa Pusat PKC

Pembinaan sistem diplomasi antara parti menjadi keutamaan PKC pada abad baharu ini. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, PKC giat menjalankan pertukaran lawatan berkala dengan parti utama di AS, Rusia dan Jepun serta pertubuhan serantau termasuk Kesatuan Eropah (EU). Pertukaran lawatan seumpama itu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, khususnya untuk mempertingkatkan persefahaman dan rasa saling mempercayai.

Dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu, PKC telah memainkan peranan yang unik sebagai pengantara dalam isu-isu antarabangsa dan serantau yang hangat, termasuk isu nuklear Semenanjung Korea dan konflik antara Sudan dan Sudan Selatan, sekali gus menjadi saluran tambahan yang penting bagi diplomasi kerajaan China.

Pada musim bunga tahun 2011, Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat PKC (IDCPC) dengan kerjasama badan-badan yang berkenaan telah menganjurkan siri aktiviti hari terbuka yang bertemakan "Mendekati PKC" sempena ulang tahun ke-90 penubuhan PKC. Para diplomat asing di China buat pertama kalinya mengunjungi Suruhanjaya Pusat bagi Pemeriksaan Disiplin PKC yang merupakan badan pemeriksaan disiplin tertinggi di China. Melalui kunjungan tersebut, mereka dapat melihat sendiri usaha PKC membanteras rasuah bagi membina sebuah kerajaan yang telus. Di samping itu, mereka juga melawat ke Jabatan Pengurusan Jawatankuasa Pusat PKC dan Sekolah Parti Jawatankuasa Pusat PKC yang merupakan institusi tertinggi bagi melatih pemimpin peringkat tinggi dan pertengahan PKC.

Jurucakap IDCPC, Huang Huaguang

Jurucakap IDCPC, Huang Huaguang memaklumkan bahawa semakin banyak parti asing telah menyedari bahawa pembangunan China tidak boleh dipisahkan daripada strategi pentadbiran PKC, dan memahami parti itu sebenarnya kunci untuk mengenali China. Dalam pertukaran lawatannya dengan parti dan pertubuhan politik negara luar, PKC sentiasa bersikap terbuka dan telus.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China