Cari:
Media Asia Tenggara Giat Buat Liputan Kongres Kebangsaan PKC
2012-11-09 15:09:33 CRI Cetak

Kongres Kebangsaan ke-18 Parti Komunis China (PKC) dirasmikan di Beijing semalam. Wartawan dari pelbagai negara Asia Tenggara bertungkus lumus membuat liputan perasmian kongres tersebut, khususnya laporan yang dibentangkan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC, Hu Jintao. Mereka bersependapat bahawa kongres kali ini menyediakan peluang keemasan kepada wartawan asing untuk memahami PKC serta pembangunan China.

Wartawan dari akhbar Vientiane Times Laos, Ekaphone Phoutonesi berkata, Laos berharap untuk menimba pengalaman China dalam pembangunan negara berikutan kedua-dua negara mempunyai sistem politik yang sama.

Wartawan dari Agensi Berita Kemboja, Chea Vana menyatakan, beliau akan meneliti laporan Presiden Hu untuk meningkatkan pemahamannya agar dapat meulis laporan yang tepat mengenai kandungan laporan tersebut.

Wartawan dari Kumpulan Multimedia Kebangsaan Thailand, Sathapat Phaethong berkata, kali ini merupakan kali pertama beliau membuat liputan kongres PKC. Beliau yakin, dapatan kongres ini akan membawa China terus bergerak ke hadapan.

Stesen TV berita yang terbesar di Indonesia, Metro TV membuat liputan khusus terhadap kongres tersebut. Bermula semalam, Metro TV menyiarkan program khas dalam bahasa Mandarin berkaitan kongres itu dalam program "Wide Shot" pada setiap petang. Media itu juga menyediakan berita terkini mengenai kongres itu dalam laman sesawangnya.

Akhbar Lianhe Zaobao Singapura dalam laman sesawangnya menggunakan fon yang tebal dan merah bagi tajuk laporan perasmian kongres tersebut. Akhbar itu semalam melaporkan, kongres yang diadakan lima tahun sekali itu bakal menentukan tampuk pimpinan China yang baharu dan hala tuju polisi China pada masa depan. Dapatannya pasti akan memberi kesan yang mendalam kepada China dan dunia.

Kongres tersebut juga menjadi tumpuan akhbar berbahasa Mandarin di Filipina, yang membuat laporan berterusan tentang perasmian kongres itu semalam.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China