Cari:
Ekuiti Sosial Ditekankan dalam Kongres Kebangsaan Ke-18 PKC
2012-11-13 14:12:54 CRI Cetak

Mewujudkan sistem jaminan ekuiti sosial bagi membolehkan semua rakyat menikmati hak, peluang dan peraturan dengan adil antara usaha yang ditekankan dalam laporan Kongres Kebangsaan Ke-18 Parti Komunis China(PKC) baru-baru ini. Usaha tersebut diharap akan mewujudkan persekitaran sosial yang lebih adil dan saksama.

Keadilan merupakan cita-cita yang diidamkan manusia. Ia menjadi lebih penting bagi sesebuah masyarakat apabila taraf kekayaannya semakin meningkat. PKC selama ini menjunjung konsep kesaksamaan sebagai misi pentadbirannya. Hal ini bagi memastikan hasil pembangunan negara dapat dinikmati oleh semua rakyat dan juga selaras dengan proses pembangunan sosialisme yang bercirikan China.

Perjuangan untuk mewujudkan ekuiti sosial di China dapat dilihat dengan pelbagai pendekatan yang diambil oleh kerajaan dalam tempoh 10 tahun yang lalu. Ini termasuk membatalkan kutipan cukai industri pertanian, mengamalkan pendidikan wajib yang mengecualikan yuran sekolah dan membentuk sistem jaminan sosial yang sempurna.

Pembangunan yang dianggap prasyarat bagi mencapai ekuiti sosial juga amat penting bagi menyelesaikan semua cabaran yang dihadapi dalam kalangan masyarakat di negara ini. Selain itu, pentadbiran negara yang berasaskan undang-undang juga amat penting bagi mencapai matlamat tersebut dan memastikan hak asasi manusia dapat dilindungi dengan sepenuhnya. Dengan kata lain, sebarang tingkah laku yang menyalahi Perlembagaan dan undang-undang pasti dikenakan tindakan.

Selain itu, ketelusan juga amat penting bagi mencapai matlamat masyarakat yang adil. Ini kerana gejala rasuah pasti akan berleluasa sekiranya penggunaan kuasa tidak dikawal dengan baik, justeru menjejaskan keadilan masyarakat. Oleh yang demikian, hak rakyat untuk mendapat maklumat, hak penyertaan, bersuara dan pengawasan mestilah dilindungi sepenuhnya, demi mengelakkan berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China