Lempar Bata Dapat Jed
Asal Usul:
Pada zaman Dinasti Tang, iaitu antara tahun 618 hingga tahun 907 Masihi, di negeri China, ada seorang penyair tersohor yang bernama Zhao Gu. Puisi yang dihasilkannya selalu mendapat sambutan dan pujian orang ramai.
Pada ketika itu, ada seorang lelaki bernama Chang Jian yang juga sangat berminat untuk mencipta puisi. Bagaimanapun, dia merasakan bahawa puisi yang dihasilkannya masih kurang menarik jika dibandingkan dengan puisi yang dihasilkan oleh Zhao Gu itu.
Pada suatua hari, Chang Jian mendapat tahu bahawa Zhao Gu akan melawat ke Suzhou. Fikirnya dalam hati, "Inilah peluang yang baik untuk belajar dengannya. Tapi, bagaimana caranya untuk meminta dia mencipta serangkap puisi untukku?" Tiba-tiba, dia terfikir pula, "Jika Zhao Gu melawat ke Suzhou, pastilah dia akan mengunjungi Kuil Lingyan. Aku boleh menulis dua baris puisi pada dinding kuil itu dulu. Jika Zhao Gu nampak puisi yang belum lengkap itu, dia pasti mahu melengkapkannya."
Maka, Chang Jian segera berangkat, menuju ke Kuil Lingyan di Suzhou itu. Setelah tiba di sana, dia terus menulis dua baris puisi pada dingin kuil itu. Tidak lama kemudian, Zhao Gu yang melawat ke kuil itu ternampak dua baris puisi yang belum lengkap itu. Seperti yang disangka, ini telah menarik minatnya untuk melengkapkan puisi itu, kerana puisi klasik China biasanya mengandungi empat baris. Dua baris yang ditambahnya memang jauh lebih baik daripada yang dicipta oleh Chang Jian itu.
Setelah menbaca dua baris puisi yang dihasilkan oleh Zhao Gu itu, Chang Jian berkata dengan penuh rasa kagum dan hormat,
"Jika puisi saya diibaratkan sebagai seketul batu bata, maka puisi yang dihasilkan oleh Zhao Gu itu boleh diibaratkan sebagai seketul jed. Aku telah melemparkan seketul batu bata terlebih dahulu. Yang aku peroleh akhirnya ialah seketul jed yang jauh lebih bernilai."
Catatan Keterangan:
Peribahasa "Pao Zhuan Yin Yu" ini bermakna, melemparkan seketul batu bata untuk mendapatkan seketul jed yang lebih bernilai daripada orang lain. Peribahasa yang menunjukkan sifat rendah hati ini, selalu digunakan oleh orang China untuk menyindir perbuatan orang yang "memancing" pandangan yang lebih bijak atau lebih matang daripada para pembaca atau pendengar, dengan menyatakan pandangannya yang dianggap kurang matang dan mentah.