Lembing dan Perisai Bercanggah Sesama Sendiri
Asal Usul:
Pada zaman Negeri-Negeri Berperang (tahun 475-221 Sebelum Masihi), di negeri Chu, ada seorang penjual lembing dan perisai yang sangat suka membesar-besarkan kelebihan barang jualannya.
Pada suatu hari, si penjual itu bangun awal, lalu pergi ke pasar untuk menjual lembing dan perisainya seperti biasa. Untuk menarik perhatian pembeli, dia terus mengangkat perisainya, sambil melaung-laung,
"Marilah beli perisaiku ini. Perisaiku ini keras sekali. Ia mampu menahan apa sahaja jenis lembing, tak kira berapa tajamnya!"
Kemudian, dia mengangkat 普拉 lembingnya, sambil terus melaung-laung,
"Marilah beli lembingku ini. Lembingku ini tajam sekali sehingga ia mampu menembusi apa sahaja jenis perisai, tak kira berapa tebalnya!"
Setelah terdengar kata-kata si penjual itu, seorang lelaki yang ada di situ bertanya dengan hairan,
"Menurut kata-kata kamu tadi, lembing kamu mampu menembusi apa sahaja jenis perisai. Perisai kamu pula mampu menahan apa sahaja lembing. Bagaimana pula akibatnya jika menggunakan lembing kamu untuk menikam dan menembusi perisai kamu?"
Mendengar soalan tersebut, lidah si penjual itu pun menjadi kelu kerana tidak tahu bagaimana menjawabnya. Dengan perasaan penuh malu, dia segera mengumpulkan lembing dan perisainya, lalu meninggalkan pasar itu.
Catatan Keterangan:
Peribahasa "Zi Xiang Mao Dun" atau "Lembing dan Perisai Bercanggah Sesama Sendiri" ini membawa erti, kenyataan yang dibuat atau perbuatan yang dilakukan oleh seseorang, mengandungi unsur-unsur yang bertentangan sesama sendiri. Ia digunakan untuk menyindir orang atau golongan yang cakap atau perbuatannya selalu bercanggah sesama sendiri.