- (2010-4-30 19:50:29)
Majlis perasmian Ekspo Dunia 2010 di Shanghai akan bermula pada pukul 8.00 malam ini.
- (2010-4-30 19:54:53)
Ekspo dunia kali ini merupakan ekspo dunia bersepadu yang diadakan di negara membangun buat kali pertama, dan juga merupakan ekspo dunia yang pertama kali diadakan di China. Mengadakan ekspo dunia yang berjaya dan cemerlang serta sukar untuk dilupakan, merupakan janji yang telah dibuat oleh kerajaan China kepada seluruh dunia. Dalam tempoh persiapan selama lebih tujuh tahun, kerajaan dan rakyat China terus berupaya untuk menunaikan janji itu.
- (2010-4-30 19:55:30)
Kerajaan Shanghai telah memberikan buku"Panduan Ekspo Dunia 2010 di Shanghai" kepada 100,000 buah keluarga di bandar ini. Buku tersebut memaklumkan kepada seluruh penduduk Shanghai tentang apakah sebenarnya Ekspo Dunia 2010 di Shanghai, bagaimana sambutan ekspo itu memperkenalkan Shanghai, bagaimana untuk menjaga kebersihan bandar dan bagaimana untuk menjalin hubungan yang baik, supaya penduduk bandar Shanghai berjaya mencipta kehidupan yang lebih baik di bandar menerusi kata-kata dan juga tindakan.
- (2010-4-30 20:04:48)
Presiden China Hu Jintao dan pemimpin dan tokoh politik dari lebih 20 buah negara menghadiri majlis perasmian malam ini. Mereka akan menyaksikan majlis yang gilang-gemilang ini bersama-sama dengan kita. Sekarang, kelihatan pemimpin pelbagai negara masuk ke dalam balai majlis perasmian dengan tepukan tangan yang gemuruh.
- (2010-4-30 20:10:12)
Song Zuying dan Jackie Chan bersama 700 orang gadis menyanyikan "Lagu Gembira untuk Keharmonian" dengan disertai tarian yang dipersembahkan oleh penari daripada 56 etnik China.
- (2010-4-30 20:11:20)
Majlis perasmian Ekspo Dunia 2010 Shanghai China dimulakan sekarang. Majlis ini dipengerusikan oleh Anggota Biro Politik Pusat Parti Komunis China, yang juga Setiausaha Jawatankuasa Shanghai Parti Komunis China dan Naib Pengarah Pertama Jawatankuasa Penganjur Eskpo Dunia Shanghai, Encik Yu Zhengsheng.
- (2010-4-30 20:13:01)
Para hadirin telah berdiri, untuk menyaksikan upacara menaikkan bendera kebangsaan China yang diiringi lagu kebangsaan China.
- (2010-4-30 20:13:52)
Upacara menaikkan panji-panji Jabatan Pameran Antarabangsa diadakan.
- (2010-4-30 20:14:58)
Upacara menaikkan panji-panji Ekspo Dunia Shanghai di samping memainkan muzik Ekspo Dunia 2010 Shanghai.
- (2010-4-30 20:15:47)
Panji-panji pihak pameran yang menyertai ekspo kali ini dibawa naik ke pentas.
- (2010-4-30 20:19:01)
Ketua Pengarah Jawatankuasa Penganjur Ekspo Dunia 2010 Shanghai China, yang juga Naib Perdana Menteri China, Wang Qishan menyampaikan ucapan.
- Wang Qishan(2010-4-30 20:21:14):
Yang Mulia Presiden Hu Jintao dan isteri,
Yang mulia Presiden Lafon,
Para hadirin yang dihormati,
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pada saat ini, kita berkumpul di tebing Sungai Huangpu yang indah untuk memulakan bersama-sama perhimpunan meriah sedunia. Esok, Ekspo Dunia yang bersejarah 159 tahun akan buat pertama kalinya dianjurkan di China, dan juga di sebuah negara membangun.
- Wang Qishan(2010-4-30 20:22:17):
Terima kasih kepada 246 buah negara, pertubuhan antarabangsa dan perusahaan China dan luar negara yang menyertai pameran ekspo dunia kali ini. Kecerdikan, penciptaan dan pembinaan luar biasa anda telah membolehkan pelbagai pavilion pameran memperlihatkan kekuatan daripada nyawa dan menyampaikan mesej kedamaian, persahabatan dan harapan. Terima kasih juga kepada rakyat seluruh negara China, lebih-lebih lagi rakyat Bandar Shanghai serta pembina, pekerja dan sukarelawan Ekspo Dunia Shanghai. Penyertaan, dedikasi, pemahaman dan sokongan andalah yang telah membolehkan kita dapat berkongsi dengan kecemerlangan Ekspo Dunia Shanghai.
- Wang Qishan(2010-4-30 20:22:45):
Tapak kaki kemajuan manusia telah meninggalkan kesan yang tidak dapat dihapuskan dalam ekspo dunia selama satu abad setengah ini.
- Wang Qishan(2010-4-30 20:23:03):
"Bandar yang lebih baik memberi kehidupan yang lebih baik". Ekspo Dunia Shanghai yang buat pertama kalinya menggunakan tema "bandar" merupakan wahana inovasi, kerjasama dan interaksi bagi rakyat pelbagai negara. Ia akan membuka pintu bandar pada masa hadapan, membimbing cara hidup yang baru, meningkatkan keharmonian antara manusia dengan bandar dan alam, dan mendorong pembangunan bandar yang aman, bahagia dan mempunyai peradaban bagi mempercepat pembangunan manusia secara menyeluruh.
- Wang Qishan(2010-4-30 20:23:21):
Taman Ekspo Dunia Shanghai akan dibuka. Kami akan menyediakan perkhidmatan yang bermutu tinggi dan memberikan senyuman yang ikhlas supaya semua pengunjung dapat menghayati ekspo dunia di China yang berjaya, unggul dan sukar untuk dilupakan.
- Wang Qishan(2010-4-30 20:23:48):
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Konsep mengutamakan kepentingan rakyat dan melaksanakan pembangunan berterusan telah menjadi pilihan pasti kerajaan dan rakyat China. China yang lebih terbuka dan toleran akan bersama-sama dengan pelbagai negara di dunia, mendorong tamadun dan kemajuan manusia.
Akhir sekali, semoga Ekspo Dunia 2010 Shanghai China mencapai kejayaan.
- (2010-4-30 20:25:09)
Presiden Biro Pameran Antarabangsa, Encik Jean-Pierre Lafon menyampaikan ucapan.
- Jean-Pierre Lafon (2010-4-30 20:26:18):
Yang Mulia Presiden China, Hu Jintao,
Yang Mulia Ketua-ketua kerajaan,
Yang Mulia Pesuruhjaya Besar,
Tuan-tuan dan puan-puan.
Biro Ekspo Antarabangsa atas nama 157 negara-negara anggota ini, berasa gembira kerana Ekspo Dunia 2010 diadakan di Shanghai China, negara yang paling padat penduduknya, paling bersejarah dan mempunyai kebudayaan yang paling lama, dengan tamadunnya yang maju, di planet ini, yang telah mengalami perubahan besar serta revolusi perbandaran yang tidak pernah dibayangkan.
- Jean-Pierre Lafon (2010-4-30 20:26:36):
Ekspo yang besar ini akan membolehkan kita untuk menyaksikan kebangkitan China pada permulaan abad ke-21 ini.
- Jean-Pierre Lafon (2010-4-30 20:27:28):
Melalui pavilion-pavilion semua negara di dunia serta dengan penciptaan buat kali pertama dalam Ekspo Dunia, iaitu kawasan "the Best Practices" dengan tujuan untuk membentuk suatu sumber perbandingan dan dialog antara bandar-bandar dan kawasan-kawsan di dunia.
Akhirnya, kita telah menjadikan Ekspo ini sebagai satu pesta global, melalui penyiaran gambar-gambar dan forum-forum berkat kemajuan teknologi komunikasi hari ini.
- Jean-Pierre Lafon (2010-4-30 20:28:39):
Menerusi skopnya yang luas, idea-idea yang bernas, ciptaan-ciptaan baru dan pemilihan tema-tema Ekspo kali ini, misalnya pemilihan tema, "Bandaraya Hari Ini" di Shanghai, "Menyuburkan Bumi Untuk Masa Depan" di Milan atau "Lautan" di Yeosu, Biro Ekspo Antarabangsa menyedari bahawa Ekspo Dunia lebih meriah daripada sebelum ini. Sementara itu, Ekspo Dunia juga memenuhi tuntutan kemajuan zaman, dialog dan persaingan yang tidak hanya terhad kepada sukan semata-mata.
- Jean-Pierre Lafon (2010-4-30 20:28:49):
Tema "Better City Better Life" yang dipilih oleh majoriti penduduk dunia yang tinggal di bandar-bandar ini, dengan peningkatan jumlah penduduk bandar kepada hampir 3 bilion orang, dalam beberapa dekad yang akan datang seharusnya mendorong kita untuk memperbaiki kualiti hidup penduduknya bukan sahaja bagi negara-negara membangun tetapi juga bagi negara-negara maju. Negara-negara maju juga turut mengalami pencemaran, kemiskinan, masalah sosial dan tiada jaminan keselamatan.
Kita harapkan, Ekspo ini akan menyumbang kepada kesedaran sosial supaya dengan itu bandar-bandar kita akan menjadi lebih lestari, adil, selamat dan harmoni.
- Jean-Pierre Lafon (2010-4-30 20:29:02):
Saya mengucapkan selamat berjaya kepada Ekspo Dunia 2010 Shanghai.
- (2010-4-30 20:29:56)
Presiden China, Hu Jintao mengisytiharkan perasmian Ekspo Dunia 2010 Shanghai China.
- (2010-4-30 20:31:10)
Persembahan kesenian bermula.
- (2010-4-30 20:32:52)
Lagu yang bertajuk: "Bertemu di Shanghai"dinyanyikan oleh Liu Yuanyuan, Mao Amin dan Emil Chau.
"Bertemu di Shanghai" memperlihatkan rakyat Shanghai yang sebagai tuan ekspo dunia dengan gembira menjemput pelbagai negara.
- (2010-4-30 20:37:53)
Persembahan muzik yang bertajuk: "Danube Biru".
- (2010-4-30 20:39:01)
Persembahan muzik yang bertajuk:"Konserto Shanghai Baru". Piano dimainkan oleh Lang Lang.
- (2010-4-30 20:42:03)
"Danube Biru" yang digubah oleh Johann Srauss menjadi terkenal menerusi Ekspo Dunia 1868 Paris. Manakala, "Konserto Shanghai Baru" yang dihasilkan untuk Ekspo Dunia 2010 Shanghai memuji Sungai Yangtze, sungai ibunda rakyat China. Konserto ini menyampaikan mesej "komunikasi" menerusi "air sungai yang mengalir". Baik Sungai Danube ataupun Sungai Yangtze sama-sama ialah wahana yang memupuk dan mewariskan tamadun manusia.
- (2010-4-30 20:45:08)
Lagu yang bertajuk: "Better City, Better Life" yang digubah oleh Tan Dun dan Quincy Jones.
Tan Dun dan Quincy Jones, seorang pemuzik Amerika Syarikat yang terkenal, secara khusus menggubah lagu "Better City, Better Life" untuk Ekspo Dunia 2010 Shanghai. Dalam lirik lagu ini, terdapat "langkah demi langkah" dalam bahasa Mandarin dan "Alanong" dalam dialek Shanghai yang bermaksud "saya dan anda".
- (2010-4-30 20:47:23)
Persembahan tarian yang dibawa oleh Rombongan Kesenian Maori New Zealand, "Begol Berani".
- (2010-4-30 20:50:36)
Persembahan lagu yang bertajuk: "Bintang", yang dibawa oleh penyanyi Jepun, Shinji Tanimura.
- (2010-4-30 20:56:37)
Persembahan lagu yang bertajuk: "Satu Cinta" yang dipersembahkan oleh Kumpulan Koir Soweto Afrika.
- (2010-4-30 21:00:45)
Lagu yang bertajuk: "nobody fall asleep tonight"dipersembahkan oleh Andrea Bocelli, seorang penyanyi buta yang terkenal dari Itali, sebagai penghormatan kepada bandar Milan, Itali yang akan menganjurkan Ekspo Dunia ke-43.
- (2010-4-30 21:03:23)
Lagu"Kepada Ekspo Dunia" yang dipersembahkan oleh Huang Ying, Liao Changyong, Tan Jing dan Sun Nan, dengan disertai tarian dan seni persembahan.
- (2010-4-30 21:06:05)
Seni persembahan "Kepada Ekspo Dunia" dipersembahkan oleh 3 keluarga. Persembahan ini selaras dengan makna logo Ekspo Dunia 2010 Shanghai menerusi 3 keluarga yang berganding bahu itu.
- (2010-4-30 21:06:42)
Dua orang anak yatim etnik Tibet dari kawasan bencana gempa bumi Yushu Qinghai China dijemput ke atas pentas, untuk bersama-sama menyambut perasmian Ekspo Dunia Shanghai.
Gempa bumi dahsyat yang berlaku di Yushu bukan sahaja merupakan malepetaka bagi rakyat China, tetapi juga malepetaka bagi seluruh dunia. Manusia perlu saling menyokong dan saling membantu untuk mengatasi bencana alam.
- (2010-4-30 21:11:44)
Pertunjukan kesenian sudah habis, persembahan cahaya lampu, pancutan air, laser dan bunga api akan dimulakan.
- (2010-4-30 21:29:46)
Persembahan Cahaya Lampu, Pancutan air, laser dan Bunga Api telah dimulakan. Persembahan ini dibahagikan dalam 3 bahagian, iaitu "China menyambut anda", "Bertemu dalam Ekspo Dunia" dan "Seluruh dunia bersama-sama menyambut Ekspo Dunia".
- (2010-4-30 21:33:55)
Bahagian pertama: "China menyambut anda".
Skrin besar menayangkan gambar-gambar Ekspo Dunia yang dianjurkan di London, Paris, Chicago dan bandar-bandar yang lain dalam sejarah. Kini, Ekspo Dunia dianjurkan di China. Ini telah membuka lembaran baru Ekspo Dunia yang buat pertama kalinya dianjurkan di sebuah negara membangun.
- (2010-4-30 21:34:30)
Slogan "Shanghai China mengalu-alukan anda" yang berwarna merah dan emas muncul pada skrin besar, bunga api yang berwarna merah dibakar dan cahaya lampu yang juga berwarna merah terpancar ke permukaan Sungai Huangpu, sehingga Sungai Huangpu seolah-olah dilitupi permaidani berwarna merah yang besar. Ini telah menyampaikan salam rakyat China kepada para pengunjung dari pelbagai negara di dunia.
- (2010-4-30 21:36:20)
Lampu suluh raksasa terpancar ke permukaan sungai dan udara, lampu hiasan yang dipasang di bangunan mercu tanda di sebelah barat pesisir Sungai Huangpu dinyalakan satu demi satu. Cahaya lampu dan bunga api bersama-sama menerangi seluruh taman Ekspo Dunia. Cahaya lampu kemudiannya beransur-ansur berubah menjadi warna biru dan hijau.
- (2010-4-30 21:36:52)
Cahaya lampu suluh raksasa turut mewarnai persembahan ini, lampu hiasan yang dipasang di kedua-dua jambatan yang menyeberangi Sungai Huangpu di kedua belah taman Ekspo Dunia, iaitu Jambatan Nanpu dan Jambatan Lupu berubah-ubah warnanya menurut irama muzik. Kesemua ini menimbulkan suasana yang begitu indah dan meriah.
- (2010-4-30 21:37:18)
Bahagian kedua: "Bertemu dalam Ekspo Dunia".
Sebanyak 6000 buah bebola LED yang garis tengahnya masing-masing sepanjang 1.5 meter yang memancarkan cahaya berwarna-warni dengan warna merah, kuning dan oren terapung mengikuti arus air Sungai Huangpu yang mengalir dari haluan Jambatan Lupu yang membentuk satu pemandangan yang cukup indah di sungai ini.
- (2010-4-30 21:39:41)
200 buah kapal yang mengibarkan bendera ditarik oleh 3 buah bot laju yang akhirnya bertemu dengan bebola yang mengeluarkan cahaya berwarna warni di hadapan kawasan tetamu VIP yang sedang menonton persembahan. Bunga api dibakar di dalam 3 buah bot laju tersebut. Sementara 200 buah kapal bendera itu belayar menghala ke arah kelompok bebola yang bercahaya, bebola dan kapal bergerak masing-masing dalam arah yang bertentangan sehingga menimbulkan suatu pemandangan yang indah dan menarik.
- (2010-4-30 21:42:45)
Gambar kanak-kanak dari pelbagai negara yang sedang senyum ditayangkan di skrin besar. Persembahan yang diolah berasaskan kisah cinta klasik terkenal China "Liang Shanbo dan Zhu Yingtai" ini memperlihatkan tema "keharmonian antara manusia dengan langit". Pancutan air yang menari-nari menurut irama muzik berubah menjadi skrin air yang besar, bunga-bungaan dan kupu-kupu yang merupakan simbol percintaan dua kekasih dalam kisah tersebut ditayangkan pada skrin air yang besar ini juga memperlihatkan keharmonian antara manusia dengan alam persekitaran.
- (2010-4-30 21:44:35)
Pancutan air bukan sahaja pandai menari-nari, malah berjiwa di mana pancutan air itu kemudiannya menjadi seperti bentuk tubuh badan seorang lelaki dan seorang wanita. Cahaya laser juga turut digunakan dalam persembahan ini. Persembahan yang menggunakan sains dan teknologi canggih ini mencerminkan harapan manusia terhadap masa depan.
- (2010-4-30 21:51:17)
Bahagian ketiga: "Seluruh dunia bersama-sama menyambut Ekspo Dunia."
Pembakaran bunga api yang berwarna emas dimulakan di Jambatan Lupu. Seterusnya bunga api yang berwarna perak dan ungu dibakar di kedua belah tebing Sungai Huangpu dan di kapal yang sedang belayar di sungai ini. Kemudian, kelihatan percikan bunga api yang berwarna-warni berterusan. Pelbagai gambar bertuah tradisional China muncul di skrin besar. Percikan bunga-bunga api yang kelihatan bentuknya seperti muka yang tersenyum, logo Ekspo Dunia, Haibao iaitu maskot Ekspo Dunia kali ini terbentuk satu demi satu.
- (2010-4-30 21:52:57)
Pada saat ini, seluruh dunia berganding tangan, Ekspo Dunia Shanghai menyampaikan salam demi kedamaian. Menurut irama "Lagu Kegembiraan", bunga api dibakar menggila, lampu suluh raksasa, cahaya laser dan pancutan air dimainkan serentak secara besar-besaran. Dengan ini seluruh dunia bersama-sama menyambut Ekspo Dunia Shanghai 2010.
- (2010-4-30 21:57:14)
Malam ini, cahaya lampu yang berwarna-warni menyerikan lagi pemandangan Sungai Huangpu. Bunga api yang indah bagaikan wajah gemilang negara yang bersejarah ini. Ia juga merupakan undangan yang ikhlas daripada Ekspo Dunia Shanghai kepada seluruh dunia.
- (2010-4-30 21:58:18)
Malam ini kepunyaan seluruh dunia, kegembiraan ini kepunyaan semua insan manusia. Saudara yang dikasihi, mari kita bersama-sama menikmati saat yang penuh ceria ini!