22 November tahun 2010 merupakan hari terakhir Pesta Air yang disambut selama tiga hari di Kemboja. Kira-kira tiga juta orang dari seluruh negara telah berkumpul di Phnom Penh untuk menyaksikan aktiviti dalam pesta tersebut. Kira-kira pada pukul 10 malam hari itu, suatu insiden rempuhan telah berlaku ketika kumpulan orang berasak-asak melalui jambatan Intan yang terletak di sebuah pulau, Pulau Intan. Insiden tersebut mengakibatkan 351 orang terkorban, manakala 395 lagi cedera. Berikutan peristiwa itu, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen mengumumkan 25 November sebagai Hari Berkabung Negara Kemboja untuk mengenang mangsa korban dalam insiden tersebut.