Cari:
Kunjungan Najib ke China Lonjak Hubungan Akrab
2016-10-31 14:41:03 CRI Cetak

Kunjungan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan tiba di Beijing, China hari ini untuk lawatan rasmi selama seminggu diyakini akan memperkukuh lagi jalinan diplomatik Malaysia dan China ke satu tahap yang lebih tinggi dalam meneruskan kesinambungan hubungan baik yang sudah wujud sejak sekian lama.

Ketika diwawancara oleh Agensi Berita Xinhua China menjelang lawatan itu di Kuala Lumpur baru-baru ini, Najib menyifatkan China sebagai sahabat sejati dan rakan strategik kepada Malaysia.

Beliau memetik kenyataan Presiden China, Xi Jinping semasa pertemuan empat mata sempena Forum Boao bagi Asia (BFA) di Hainan pada Mac 2015, sebagai berkata, hubungan diplomatik kedua-dua negara berada pada kedudukan yang amat baik. Lapan bulan kemudiannya, sepanjang pertemuan secara bersemuka dengan rakan sejawatnya dari China, Li Keqiang di Kuala Lumpur, status hubungan berkenaan dihuraikan sebagai tetangga baik, rakan akrab dan sahabat sejati. PM itu bersetuju seratus peratus dengan huraian pemimpin-pemimpin negara China dalam mentakrifkan hubungan kedua-dua negara. Beliau pula berpendapat, hubungan tersebut sudah memasuki satu fasa yang cukup istimewa.

Pada tahun 2013, hubungan diplomatik Malaysia-China telah dinaik taraf daripada "Perkongsian Strategik" kepada "Perkongsian Strategik Komprehensif". Sejurus selepas itu, kedua-dua negara membuahkan hasil kerjasama yang memberangsangkan dalam bidang pendidikan, perdagangan, pelaburan, pelancongan, pertahanan dan keselamatan, terutamanya pembukaan Universiti Xiamen Kampus Malaysia (XMUMC) adalah contoh baik yang mencerminkan jalinan kukuh antara Malaysia dengan China.

PM itu menambah, latihan ketenteraan bersama yang pertama kali dilakukan oleh kedua-dua negara pada 2015 memperlihatkan jalinan kerjasama dua hala bukan hanya tertumpu dalam aspek politik, ekonomi, pelaburan dan pelancongan, tetapi kini merangkumi kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

Najib membuat lawatan rasmi kali pertama ke China pada 2009 manakala lawatan rasmi kedua pada 2014 sempena sambutan genap ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China. Lawatan yang dimulakan hari ini adalah kunjungan rasmi ketiga, yang membuktikan bahawa hubungan kedua-dua negara kini amat baik dalam memupuk persefahaman serta memperkasakan ikatan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang.

Bapa Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kedua telah merintis hubungan diplomatik dengan China pada 1974, satu langkah bersejarah ketika negara China baru mula memperlihatkan pengaruhnya di persada dunia. Setelah hubungan dua hala terjalin sejak 1974, status hubungan Malaysia dengan China telah menunjukkan peningkatan yang signifikan. Selaku PM, Najib berikrar mewarisi legasi yang didedikasikan Allahyarham Tun Abdul Razak dan menyemarakkan lagi semangat muhibah antara Kuala Lumpur dengan Beijing.

Tambah Najib lagi, dari aspek ekonomi China, dengan mengambil kira kedudukan Malaysia yang sangat strategik di rantau ini, Malaysia merupakan salah satu negara yang telah dikenal pasti oleh China dalam konteks inisiatif "Jalur dan Laluan (B&R)" yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan China. Mengenai visi Komuniti Berkongsi Nasib yang disyorkan Presiden Xi Jinping, PM itu menghargai iltizam Beijing dalam membentuk suasana yang damai di rantau ini.

Difahamkan, perkara-perkara yang dijangka dibincangkan semasa lawatan tersebut adalah berkaitan dengan kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, pertanian, pelancongan dan kebudayaan, sains dan teknologi serta hubungan rakyat antara rakyat.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China