Cari:
14 MoU Termeterai China dan Malaysia
2016-11-02 14:27:46 CRI Cetak

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke China mulai Isnin lalu, menyaksikan pemeteraian 14 Memorandum Persefahaman (MoU) antara Putrajaya dengan Beijing berkaitan pertahanan, ekonomi, pertanian, pendidikan, kewangan dan sektor pembinaan, selepas mempengerusikan rundingan rasmi dua hala bersama-sama dengan rakan sejawatnya dari China, Li Keqiang di Dewan Besar Rakyat di Beijing semalam.

Terdahulu, Najib beredar ke Dataran Tiananmen untuk upacara sambutan rasmi oleh PM Li. Lagu kebangsaan kedua-dua negara, March of the Volunteers dan Negaraku, bergema di udara sebaik sahaja kedua-dua pemimpin itu menaiki pentas khas untuk menerima tabik hormat terdiri daripada anggota Pasukan Pembebasan Rakyat China (PLA), dengan diiringi tembakan meriam 19 das. Kemudiannya, Najib diiringi Keqiang memeriksa pasukan kawalan kehormatan pada sambutan rasmi tersebut.

Sepanjang berlangsungnya rundingan rasmi dua hala, Najib menghargai status hubungan bilateral Malaysia-China kini berada pada kedudukan yang amat baik. Beliau yakin, lawatan beliau kali ini pasti akan memperkukuh lagi jalinan diplomatik Malaysia-China ke satu tahap yang lebih tinggi dalam meneruskan kesinambungan hubungan baik yang sudah wujud sejak sekian lama.

Tambah beliau lagi, Malaysia dan China merupakan sahabat sejati. Sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara dinaik taraf daripada "Perkongsian Strategik" kepada "Perkongsian Strategik Komprehensif" pada 2013, Putrajaya dan Beijing telah membuahkan hasil kerjasama yang memberangsangkan dalam pelbagai bidang, terutamanya ikatan ekonomi dan perdagangan yang terus kukuh, dengan jumlah pelaburan China di Malaysia makin meningkat. Tahun lalu, China melabur RM8.4 bilion di Malaysia dan dalam lapan bulan pertama tahun ini saja, pelaburan China dalam 20 projek perkilangan Malaysia telah mencapai RM2.4 bilion.

Sambil menegaskan bahawa China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009, Najib memberitahu, Malaysia pula kini adalah rakan dagangan kelapan terbesar China di seluruh dunia. Menurut beliau, pembabitan China yang semakin meningkat dengan rakan dan jirannya, menerusi inisiatif "Jalur dan Laluan (B&R)" serta perjanjian pelbagai hala seperti Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China, membolehkan Malaysia meraih manfaat daripada penonjolan China di peringkat dunia.

Lawatan beliau kali ini melakar pencapaian bersejarah menerusi pemeteraian 14 MoU yang bernilai RM144 bilion dengan China, antaranya termasuk, Perjanjian Rangka Kerja Pembiayaan dan Kejuruteraan, Pemerolehan, Kontrak Pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECLR) bernilai RM55 bilion. Najib menyatakan bahawa China terlibat dalam menyokong beberapa projek perdana yang akan memainkan peranan besar dalam transformasi Malaysia kepada status negara berpendapatan tinggi.

Lawatan berkenaan bukan sahaja bersejarah berdasarkan perspektif perniagaan disebabkan ia menyatukan hubungan dua hala, tetapi turut mencapai keputusan bersejarah dalam bidang pertahanan. Kerajaan negara itu telah mencapai keputusan signifikan untuk membeli empat buah Kapal Misi Litoral (LMS) daripada China, dua daripadanya akan dibina di China dan dua buah lagi di Malaysia.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China