(oleh Encik Hasani Hassan, Utusan Online)
Bangunan-bangunan moden, persekitaran yang sungguh cantik dan teratur, ibarat sebuah bandar metropolitan yang sangat maju. Jika anda lihat gambar-gambar ini, mungkin anda sangka saya berada di negara barat. Salah! Saya sebenarnya berada di Chengdu, sebuah bandar yang paling maju di barat China.
Sebelum ini saya sangka bandar-bandar maju di China semuanya berada di bahagian timur dan tenggara seperti Beijing, Shanghai, Guangzhou dan lain-lain. Tapi, lawatan saya ke Taman Perisian Tianfu yang berada di dalam Zon Teknologi Tinggi Chengdu membuktikan sebaliknya. Ia langsung bukan seperti yang saya bayangkan sebelum ini bahawa Chengdu hanyalah sebuah bandar kecil di kawasan pedalaman China. Rupa-rupanya Chengdu sangat pesat membangun dan tahap kemajuannya tidak kurang jika dibandingkan dengan Beijing atau Shanghai.
Pelbagai program telah dilaksanakan untuk menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa. Antara syarikat besar yang telah mengembangkan operasi mereka di Taman Perisian Tianfu termasuklah IBM, SAP, NEC, GE, Huawei, Siemens, Ericsson, Intel, TI dan Lenovo, Alibaba.com.
Saya merasakan taman ini akan memberikan persaingan yang sihat kepada Cyberjaya di Malaysia, Taman IT Bangalore India dan juga silicon valley, Amerika Syarikat.
Kehidupan di Chengdu sangat selesa dan tenang tanpa tekanan seperti bandar besar yang lain. Orang Chengdu hidup secara santai tetapi dengan adanya rancangan yang rapi dan teratur telah menjadikan Chengdu berjaya seperti dilihat hari ini. Ketika sesi lawatan terakhir dan kami keluar dari dewan pameran Taman Perisian Tianfu, saya lihat ramai pekerja yang keluar untuk makan tengah hari adalah muda-muda belaka. Kami diberitahu bahawa ramai yang bekerja di sini adalah berpendidikan tinggi. Saya teringat apa yang disebut oleh Ahli Penyelidik Akademi Sains Sosial Chengdu, Encik Xu Rongsheng dalam sidang media ketika kami tiba di Chengdu bahawa orang luar yang datang ke sini akan menyukai bandar ini dan tertarik untuk menetap di sini. Saya percaya, polisi yang menggalakkan pembangunan kemahiran tinggi, dengan persekitaran yang sempurna adalah faktor utama yang mendorong pembangunan Chengdu ke tahap sekarang. Saya pasti akan terus mengikuti perkembangan bandar ini kerana saya yakin ia mempunyai potensi yang besar. Chengdu, teruslah maju!