Seminar tentang perkembangan hubungan ekonomi dan perdagangan China-ASEAN telah diadakan di Beijing baru-baru ini. Pakar dan sarjana berkenaan dalam seminar tersebut berpendapat bahawa kepesatan pertumbuhan ekonomi sejagat dalam tempoh 4 tahun yang lalu sejak tahun 2003 telah menyediakan peluang yang baik kepada perkembangan hubungan ekonomi dan perdagangan China-ASEAN. Naib Ketua Setiausaha Majlis Perdagangan China-ASEAN, Xu Ningning yang juga pakar dalam isu ekonomi ASEAN dalam seminar itu berkata: "Perkembangan hubungan China-ASEAN bagi tahun 2006 pada keseluruhannya adalah baik. Kestabilan politik dan perkembangan ekonomi pelbagai negara ASEAN amat berfaedah kepada perkembangan hubungan dua hala. Sidang Kemuncak Memperingati Ulang Tahun Ke-15 Penjalinan Hubungan Dialog China-ASEAN yang diadakan pada akhir bulan Oktober tahun lalu merupakan satu petanda penting dalam perkembangan hubungan ekonomi dan perdagangan kedua-dua pihak. Persiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo yang merupakan negara pengerusi bergilir ASEAN, juga telah memberikan penilaian yang tinggi kepada perkembangan pesat hubungan China-ASEAN yang memanfaatkan pelbagai negara anggota ASEAN."
Pakar turut menegaskan bahawa Ekspo China-ASEAN Ketiga dan keanggotaan Vietnam dalam WTO telah memainkan peranan yang positif kepada peningkatan hubungan ekonomi dan perdagangan China-ASEAN.
Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh Kementeian Perdagangan China bahawa perdagangan China-ASEAN mengekalkan pertumbuhan yang amat pesat pada tahun 2006. Jumlah import eksport dua hala telah mencatat lebih 129.91 bilion dolar Amerika dalam 10 bulan pertama tahun lalu, meningkat 23.1% berbanding dengan masa yang sama pada tahun 2005. Kini, ASEAN telah menjadi pasaran eksport ke-5 terbesar dan juga sumber import ke-4 terbesar bagi China. Di samping itu, jumlah pelaburan China di negara-negara ASEAN juga telah meningkat dengan ketara. Setakat ini, kerajaan China telah memperuntukkan sebanyak 50 bilion Yuan Renminbi bagi menggalakkan perusahaan melabur di negara ASEAN melalui penyediaan pinjaman kewangan dan perkhidmatan kewangan.
Semasa menghuraikan perkembangan hubungan perdagangan China-ASEAN pada tahun 2007, Naib Ketua Pengarah Pusat Pengajian Kerjasama APEC dan Asia Timur Akademi Sains Sosial China, Lu Jianren menjangka bahawa kadar pertumbuhan perdagangan dua hala China-ASEAN akan mencapai kira-kira 20% pada tahun 2007. Beliau berkata: "Hubungan perdagangan kedua-dua pihak akan terus berkembang pada tahun ini seiring dengan usaha penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN. Jumlah perdagangan dua hala juga akan bertambah lagi seiring dengan penurunan tarif berterusan antara kedua-dua pihak."
Lu Jianren berpendapat bahawa perkembangan ekonomi dan perdagangan China-ASEAN akan menerima pengaruh daripada faktor-faktor yang berikut: Pertama-perkembangan ekonomi sejagat terutamanya ekonomi A.S., kedua-perdagangan dunia, ketiga-risiko pasaran kewangan, keempat-perubahan harga minyak antarabangsa, kelima-situasi ekonomi Asia Timur dan China, keenam-situasi politik negara ASEAN dan ketujuh-bencana alam serta keselamatan serantau. Menurut jangkaan beliau, ekonomi sejagat akan mengekalkan pertumbuhan dan ekonomi A.S. juga tidak akan mengalami kemerosotan pada tahun 2007. Di samping itu, harga pasaran minyak antarabangsa juga tidak akan meningkat dengan ketara dan kemungkinan berlakunya krisis kewangan juga amat tipis. Oleh hal yang sedemikian, perkembangan ekonomi dan perdagangan China-ASEAN dianggap mempunyai prospek yang cerah pada tahun 2007.
Pakar yang menghadiri seminar itu turut menyatakan bahawa Perjanjian Perdagangan Perkhidmatan China-ASEAN yang dijangka dapat ditandatangani dalam tempoh terdekat akan menjadi satu penjana penting kepada peningkatan kerjasama ekonomi China-ASEAN pada tahun 2007. Menurut pakar berkenaan, perdagangan perkhidmatan China-ASEAN mempunyai potensi yang amat besar kerana kedua-dua pihak mempunyai kelebihan masing-masing dalam bidang tersebut dan terdapat nilai pasaran yang jumlahnya amat besar. Semasa menghuraikan kelebihan kedua-dua pihak dalam bidang perkhidmatan itu, pakar telah memberikan contoh bahawa Singapura mempunyai kelebihan dalam perkhidmatan undang-undang dan sektor pameran, Malaysia serta Thailand pula mempunyai kelebihan dalam bidang pelancongan, manakala kelebihan China dalam bidang perkhidmatan dapat dilihat dari segi pengkomputeran, projek pembinaan dan telekomunikasi.
Semasa memberi ulasan tentang kerjasama antarabangsa yang dijalankan oleh ASEAN pada masa ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Asia Tenggara Institut Hubungan Antarabanga Moden China, Zhai Kun berkata: "Kerjasama ASEAN-China (10+1) dan kerjasama ASEAN-China, Jepun dan Republik Korea (10+3) memperlihatkan bahawa rantau ASEAN telah menarik perhatian pelbagai pihak. Di samping itu, China dan ASEAN mempunyai kepentingan bersama dalam kerjasama politik dan ekonomi. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, selain Guangxi dan Yunnan yang bersempadan dengan ASEAN, pelbagai provinsi yang lain seperti Guangdong, Fujian dan Hainan juga telah menunjukkan minat dalam mengadakan pertukaran dengan pelbagai negara ASEAN."
|