v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Wudalianchi—Taman Geologi di Heilongjiang China

2007-05-21 14:57:31 CRI

Wudalianchi disebut sebagai "muzium gunung berapi semula jadi" oleh para saintis kerana bentuk bumi gunung berapi yang paling lengkap dan padat terdapat di sana.

Wudalianchi terletak di kawasan gunung berapi yang aktif dan kali terakhir gunung berapi itu meletus adalah pada tahun 1719. Letusan yang berlaku pada kira-kira 200 tahun yang lalu itu telah membentuk Wudalianchi, keajaiban geologi yang indah itu. Setelah gunung berapi tersebut meletus, lahar yang dimuntahkan daripada gunung berapi itu menjadi dingin dan beransur-ansur menjadi batu gunung berapi yang hitam. Pada ketika itu, sebatang sungai di kawasan tersebut yang bernama "Sungai Putih" telah terputus airnya lalu terbahagi kepada lima bahagian disebabkan oleh lahar gunung berapi itu, maka akhirnya terbentuklah lima tasik yang sambung-menyambung yang disebut "Wudalianchi" pada masa ini. Kelima-lima tasik itu dipanggil "tasik pertama", "tasik kedua", "tasik ketiga", "tasik keempat" dan "tasik kelima" oleh penduduk tempatan. Puan Zhang Lili, Timbalan Kurator Muzium Taman Geologi Wudalianchi memaklumkan:

"Kelima-lima tasik itu sambung-menyambung dan punca airnya adalah daripada air bawah tanah di 'tasik kelima'. 'Tasik ketiga' merupakan yang paling besar dan keluasannya pada musim hujan mencatat 21.5 kilometer persegi."

Difahamkan bahawa walaupun kelima-lima tasik itu sambung-menyambung, namun kelima-lima tasik itu mempunyai keunikan tersendiri. Bunga teratai tumbuh di tasik pertama, tasik kedua merupakan kolam ikan semula jadi, tasik ketiga adalah yang paling besar dan berpemandangan paling indah, manakala tasik keempat dan tasik kelima yang kaya dengan sumber tanah paya itu merupakan tempat habitat burung liar. Masakan ikan yang ditangkap daripada tasik-tasik tersebut sangat lazat dan disukai penduduk tempatan. Encik Zhao Ming, salah seorang penduduk tempatan memberitahu wartawan:

"Oleh sebab ikan ini hidup di dalam air mineral yang dingin, maka kami orang tempatan memanggil ikan ini sebagai ikan mineral. Ikan mineral ini hidup di dalam air dingin, maka tumbesaran ikan-ikan ini lebih perlahan berbanding dengan ikan yang hidup di dalam air tawar yang biasa. Ikan mineral ini rasanya sangat sedap, dagingnya segar dan halus. Dengan dimasak bersama-sama air mineral yang diambil daripada tasik tersebut, keenakan rasanya tidak boleh dibandingkan lagi."

Walaupun masakan ikan mineral itu sangat lazat, tetapi pihak pengurus di Wudalianchi mengamalkan pengurusan yang ketat terhadap perlindungan ekologi alam sekitar di kawasan itu. Oleh yang demikian, ikan mineral itu tidak dapat dimakan setiap hari. Puan Zhang Lijun, Pengarah Biro Pelancongan Wudalianchi memaklumkan wartawan:

"Pihak biro kami telah menetapkan program perlindungan yang rapi terhadap kawasan perlindungan alam sekitar dan taman geologi. Dalam tempoh larangan penangkapan ikan, tindakan menangkap ikan dilarang sama sekali di sini."

Di kawasan sekeliling tasik kelima, terdapat 14 buah gunung berapi yang meruncing. Ketinggian gunung-gunung berapi itu mencecah 400 meter hingga 600 meter dari paras laut. Sebanyak 12 buah daripada 14 buah gunung berapi itu merupakan gunung berapi yang mati. Manakala dua buah yang lain yang berada dalam tempoh tidur itu dipanggil "Gunung Laohei" yang bermaksud gunung hitam dan "Gunung Huoshao" yang bermaksud gunung terbakar. Kedua-dua gunung berapi yang besar dan tinggi itu merupakan gunung berapi yang paling lengkap dilindungi di dunia. Oleh itu, kesemua pelancong yang melawat ke Wudalianchi tentu akan melawat ke kedua-dua gunung berapi tersebut.

Para pelancong dapat mendaki ke puncak gunung itu dan menyaksikan kawah gunung berapi itu. Kawah itu kelihatan seperti sebuah corong besar. Menurut jangkaan saintis bahawa suhu lahar yang dimuntahkan daripada gunung berapi itu dapat mencapai 1200 darjah Selsius. Lahar yang dikeluarkan daripada gunung berapi itu lalu menjadi dingin dan membentuk kawasan batu lahar. Pada masa ini, kita masih dapat melihat kesan aliran lahar itu.

Akibat letusan gunung berapi, menjadikan air di kawasan Wudalianchi kaya dengan kandungan mineral. Air itu berasa seperti air soda, tetapi lebih pedas sedikit. Air itu bukan sahaja boleh diminum, malahan juga dapat digunakan sebagai air mandi. Air mineral itu mengandungi belasan jenis elemen yang memanfaatkan kesihatan tubuh badan manusia. Puan Yu Yang sudah berumur 77 tahun dan beliau datang ke Wudalianchi khusus untuk mengubati penyakit tekanan darahnya yang tinggi. Beliau berkata,

"Setahu saya, mandi di dalam kolam air mineral di sini boleh mengubati banyak penyakit dan saya datang ke sini khusus untuk membaiki keadaan tekanan darah saya yang tinggi."

Kebanyakan pelancong yang melawat ke Wudalianchi setiap tahun bukan sahaja untuk menyaksikan pemandangan alam semula jadi yang indah itu, bahkan juga untuk mengubati penyakit mereka dengan menggunakan air mineral dan lumpur lahar. Terdapat kira-kira 50 buah rumah pemulihan yang boleh didiami oleh ribuan orang pesakit di kawasan sekeliling Wudalianchi. Selain itu, sebagai kemudahan untuk para pelancong, pihak pengurus di kawasan Wudalianchi telah membina banyak pondok dan kepala paip di tempat keluar air mineral. Para pelancong dapat minum air mineral yang segar di pondok-pondok tersebut.

Untuk menggunakan sumber air mineral sepenuhnya di Wudalianchi dan menarik lebih ramai pelancong melawat ke taman geologi itu, kerajaan tempatan kota Wudalianchi telah menetapkan setiap 4 hb. hingga 6 hb. bulan kelima menurut kalendar China sebagai Pesta Minum Air setiap tahun yang bermula pada tahun 1984. Aktiviti yang diadakan dalam tempoh pesta itu termasuklah menyambut tetamu warga asing, tayangan filem, pertunjukan pentas, pembakaran bunga api dan lain-lain. Pesta Minum Air yang meriah itu dapat menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun.

----Wang Jin

  Berita Berkaitan

  Ulasan
 
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |