Menurut berita CRI, Kongres Kebangsaan ke-17 Parti Komunis China telah dirasmikan di Dewan Besar Rakyat Beijing hari ini. Lebih 2200 orang wakil yang terpilih daripada 70 juta orang ahli Parti Komunis China telah menyertai kongres tersebut. Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Hu Jintao telah membentangkan laporan bagi pihak Jawatankuasa Pusat ke-16 Parti Komunis China dalam majlis perasmian hari ini.
Kongres itu dipengerusikan oleh anggota Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Wu Bangguo.
Kongres Kebangsaan Parti Komunis China dan Jawatankuasa Pusat yang dibentuknya merupakan badan pimpinan tertinggi Parti Komunis China. Kongres itu diadakan lima tahun sekali.
Kongres kali ini akan berlangsung selama 7 hari. Menurut agenda, kongres itu akan mendengar dan membahaskan laporan yang dikemukakan oleh Hu Jintao, membahaskan dan meluluskan Perlembagaan Parti Komunis China (Pindaan), membahaskan laporan kerja Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin Pusat ke-16 Parti Komunis China, memilih Jawatankuasa Pusat Ke-17 Parti Komunis China dan memilih Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin Pusat ke-17 Parti Komunis China.
|