Forum Radio dan Televisyen China-ASEAN selama dua hari telah diadakan di Beijing bermula 22 April lalu. Kira-kira 100 orang wakil dari badan kerajaan dan media daripada China dan 10 buah negara anggota ASEAN serta Sekretariat ASEAN menghadiri majlis perasmian forum tersebut. Para wakil telah sama-sama mengikuti pembentangan kertas-kertas mengenai perkembangan media di negara-negara tersebut. Yang lebih menarik ialah kertas yang dibentangkan oleh Datuk Norhyati Mohamad Ismail, Pengarah Urusan Rancangan TV, Radio Televisyen Malaysia. Dalam tempoh forum itu, wartawan kami, Fadil telah mengadakan temu baru dengan beliau.
Fadil: Setakat ini, apa kerjasama yang telah diadakan antara media Malaysia dengan China?
Datuk Norhyati: Sebenarnya, memang kita sudah ada kerjasama. Sekarang sudah ada program-program TV yang dibuat dengan China, sudah disiarkan di RTM. Pada masa akan datang, kami akan siarkan satu drama TV yang dibuat bersama dengan China, iaitu "Tale of Two Cities."
Fadil: Pelakon dalam drama itu dari mana?
Datuk Norhyati: Pelakon di antara dua negara, China dengan Malaysia. Dalam bahasa China dan bahasa Melayu. Di Malaysia dicakaplah bahasa Melayu, tapi kita memang ada slok Cina di TV stesen kita. Kalau ada program-program yang berkualiti, memang boleh masuk dalam slok yang khas, macam TV2. Kami juga banyak menyiarkan rencana-rencana dalam bahasa Cina.
Fadil: Selain daripada membuat program TV. Pada pendapat Dato' kerjasama apa yang boleh dilakukan oleh media kedua-dua negara pada masa akan datang?
Datuk Norhyati: Saya rasa memang perlu. Bukan hanya dari sekarang ini bertukar-tukar berita, drama dan program hiburan, tetapi kedua-dua pihak boleh saling berkongsi maklumat, teknologi dan pengalaman. Dengan itu, kita dapat meningkatkan persefahaman.
Fadil: Datuk melihat bagaimana minat pendengar Malaysia terhadap program-program TV dan Radio yang mengenai negara China.
Datuk Norhyati: Kalau kita lihat setakat ini, rombongan-rombongan kesenian China sudah banyak datang ke Malaysia untuk membuat persembahan. Itu bukan sesuatu yang baru, kedua-dua negara sentiasa bekerjasama dan cuba meningkat. Sekarang, RTM telah menjadi satu stesen yang mempunyai hak untuk siarkan Sukan Olimpik Beijing. Pada bulan Ogos nanti, kami akan siarkan langsung tiap-tiap hari dalam slok khas. Kami juga telah membuat siaran langsung tentang larian obor Sukan Olimpik Beijing di Malaysia.
|