v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Pengamal Sukan China Hulurkan Sumbangan kepada Mangsa Kawasan Bencana Gempa Bumi

2008-05-28 14:55:52 CRI

Pada pukul 2.28 petang 12 Mei, gempa bumi yang berukuran 8 pada skala Richter telah melanda Kaunti Wenchuan, Provinsi Sichuan di barat daya China. Bencana yang dahsyat itu turut meragut puluhan ribu nyawa manusia, malahan dilaporkan sejumlah besar bangunan sekolah habis musnah. Melihat tragedi ini, tanpa dirayu, atlet-atlet China terus menyumbangkan derma untuk membantu mangsa di kawasan bencana. Pada 14 Mei, kira-kira 500 orang atlet dan jurulatih kontinjen China yang sedang menjalani latihan di Beijing untuk Sukan Olimpik bulan Ogos ini telah menyertai aktiviti mengutip derma yang dianjurkan oleh Jabatan Pentadbiran Am Sukan Negara China. Aktiviti tersebut telah berjaya mengutip sumbangan sebanyak beberapa juta Yuan RMB. Presiden Jawatankuasa Olimpik China, Encik Liu Peng dalam upacara mengutip derma ini berkata:

"Malapetaka yang menimpa tanpa diduga ini telah meragut begitu banyak nyawa dan memusnahkan harta benda rakyat di kawasan bencana. Penderitaan yang ditanggung mereka juga turut dirasai oleh atlet-atlet yang akan bertanding dalam Sukan Olimpik Beijing dan semua pengamal sukan negara ini. Jadi, jabatan kami segera menggerakkan aktiviti ini untuk mengumpulkan derma demi membantu mangsa bencana. Kami bersedia memberikan sokongan semangat dan menyumbangkan tenaga kepada mereka. Kami akan berganding bahu dengan keluarga mangsa bencana dan bersedia menyingsing lengan untuk menjayakan operasi membantu mangsa bencana ini!"

Bintang bola keranjang NBA dari China, Yao Ming yang sedang menerima rawatan di Amerika segera menyumbangkan derma sebanyak dua juta Yuan RMB untuk membantu mangsa-mangsa di kawasan bencana. Selain itu, Yao Ming juga melibatkan diri dalam aktiviti merayu bantuan daripada pelbagai golongan masyarakat China.

Jaguh lompat pagar China yang juga juara Sukan Olimpik Athens, Liu Xiang, dan jurulatihnya Sun Haiping bersama-sama menderma 500 ribu Yuan RMB untuk membantu mangsa di kawasan bencana membina semula kampung halaman yang musnah. Liu Xiang berkata:

"Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Rakyat seluruh negara, termasuklah beberapa ramai atlet, turut merasa sedih dan pilu mengenang nasib mereka yang menderita akibat melapetaka ini. Sebagai atlet, kami akan menghulurkan sumbangan yang diperlukan tanpa teragak-agak. Walaupun jumlahnya tidak seberapa,, tapi kami yakin, ini amat besar maknanya bagi usaha membantu mangsa bencana."

Selepas gempa bumi Sichuan berlaku, larian obor Sukan Olimpik Beijing masih diteruskan di Provinsi Fu Jian, Jiangxi dan Zhejiang dari 12 hingga 18 Mei. Aktiviti memperingati mangsa korban dan mengutip derma dilaksanakan sepanjang perjalanan obor Olimpik itu di provinsi-provinsi tersebut. Pada hari kedua gempa bumi berlaku, upacara bertafakur selama seminit diadakan sebelum larian obor dimulakan untuk memperingati mereka yang terkorban dalam bencana tersebut. Kotak-kotak derma disediakan di tempat permulaan, di tepi jalan sepanjang laluan dan di lokasi penamat larian obor untuk merayu orang awam supaya menderma.

Sepanjang perjalanan membawa obor Sukan Olimpik selama enam hari itu, sepanduk-sepanduk dengan slogan seperti "Kobarkan Semangat Olimpik, Sokonglah Usaha Membantu Mangsa", "Sebarkan Rasa Cinta, Berusahalah Mengatasi Bencana" boleh dilihat di mana-mana tempat di bandar yang menganjurkan larian obor itu. Di Nanchang, ibu kota Provinsi Jiangxi, acara mengutip derma untuk kawasan bencana ini diadakan secara besar-besaran di lokasi penamat larian obor Sukan Olimpik Beijing. Setiausaha Jawatankuasa Bandar Nanchang Parti Komunis China, Encik Yu Xinrong ketika diwawancara oleh pemberita CRI berkata:

"Apabila kami diberitahu berlakunya bencana yang begitu dahsyat di Wenchuan, Provinsi Sichuan, penduduk Nanchang telah mengambil segala inisiatif untuk mengumpul wang bagi membantu mangsa bencana. Dengan usaha yang dilakukan, kami telah menerima sumbangan derma sebanyak 48 juta Yuan RMB. Dalam larian obor Sukan Olimpik Beijing di sini, penyertaan rakyat memperlihatkan kesediaan mereka untuk memberikan sokongan kepada mangsa di kawasan bencana Sichuan dan keazaman mereka untuk menjayakan aktiviti ini."

Pada 18 Mei, setelah mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing mengumumkan penangguhan larian obor Sukan Olimpik Beijing selama tiga hari, iaitu sepanjang tempoh negara berkabung untuk mereka yang terkorban dalam gempa bumi di Sichuan bermula dari 19 hingga 21 Mei.

Walaupun gegaran turut dirasai hingga sejauh Beijing ketika gempa bumi berukuran 8 pada skala Richter itu berlaku di Wenchuan, Sichuan China, tetapi semua bangunan stadium yang akan digunakan dalam Sukan Olimpik Beijing nanti tidak mengalami sebarang kerosakan.

Berdasarkan peraturan dan undang-undang berkenaan, kemudahan awam seperti Stadium Negara China yang juga dikenali sebagai "Sarang Burung" dan Pusat Akuatik Negara atau "Kiub Air" telah mengambil kira faktor lokasi Beijing yang terdedah kepada bencana gempa bumi.

Menurut pegawai berkenaan, kesemua 31 bangunan dan kawasan di Beijing serta kemudahan di enam buah bandar utama di China tidak terjejas akibat gempa bumi yang gegarannya boleh dirasai sehingga ke Taipei dan Bangkok itu.

Ketua jurutera dalam projek pembinaan Stadium Negara, Li Jiulin memberitahu media bahawa infrastruktur sukan itu mampu bertahan sehingga gempa bumi berukuran 8 pada skala Richter.

----Puspa

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |