v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Bulgaria Giat Buat Persiapan untuk Sukan Olimpik Beijing

2008-06-04 10:27:11 CRI

Bulgaria merupakan sebuah negara yang mengambil berat tentang kegiatan sukan. Pada tahun 1896, Bulgaria telah pun menyertai Sukan Olimpik moden pertama yang diadakan di Greece.

Selain acara angkat berat, gusti dan gimnastik, iaitu tiga acara yang memberi harapan paling cerah untuk mereka meraih pingat emas, atlet-atletnya juga mampu memberikan saingan hebat dalam acara menembak, berkayak dan bola tampar.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Bulgaria, Stefka Kostadinova menyatakan bahawa ramai atlet telah berjaya melayakkan diri mewakili Bulgaria ke Sukan Olimpik Beijing bagi 14 acara. Beliau menjangka bahawa sebelum Sukan Olimpik Beijing pada bulan Ogos ini, masih ada kira-kira 15 orang atlet berpotensi mendapat tiket ke temasya itu.

Ketika ditanya apakah acara yang mempunyai harapan paling cerah untuk mereka meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik Beijing, beliau berkata:

"Atlet kami telah membuat persiapan selama empat tahun untuk mencapai prestasi yang memuaskan dalam Sukan Olimpik Beijing. Bagi saya, selain acara angkat berat dan gusti yang kami terbukti mempunyai keunggulan, atlet kami juga mampu membawa kejayaan dalam acara olahraga dan gimrama. Saya juga menanti-nantikan persembahan yang baik daripada pasukan bola tampar lelaki Bulgaria dalam temasya sukan itu."

Ketika menyentuh isu latihan atlet, Stefka Kostadinova menyatakan bahawa pada masa ini, program latihan bagi atlet yang akan menyertai Sukan Olimpik Beijing sedang berjalan dengan lancar. Terdapat satu badan penyelaras khas yang bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan program latihan tersebut. Sebarang masalah yang ditemui dalam pelaksanaan program itu akan diselesaikan dengan segera. Rancangan awal latihan persiapan untuk Sukan Olimpik Beijing ditetapkan oleh kerajaan, diluluskan dan ditaja oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara. Rancangan itu dilaksanakan oleh pelbagai persatuan acara sukan dan ditadbir serta diselia secara bersama oleh Jawatankuasa Olimpik Bulgaria dan Jabatan Belia dan Sukan Negara.

Ketika Sukan Olimpik berlangsung di Beijing nanti, selain atlet, pelbagai media Bulgaria juga akan menghantar pasukan mereka untuk mengambil bahagian dalam temasya sukan itu. Difahamkan, akhbar Trud, salah sebuah akhbar yang terbesar di Bulgaria akan menghantar wartawannya yang paling hebat ke Beijing untuk membuat liputan tentang temasya sukan itu. Dalam lawatan Timbalan Ketua Editor akhbar itu, Nikola Kitsevski, ke China baru-baru ini, stadium-stadium yang akan digunakan dalam Sukan Olimpik Beijing telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada beliau.

"Reka bentuk moden Stadium Negara China atau lebih dikenali sebagai "Sarang Burung" dan Pusat Akuatik Negara atau "Kiub Air" meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya. Sejarah membuktikan bahawa kemudahan sukan yang bermutu tinggi akan merangsang atlet mencapai kejayaan yang cemerlang. Saya yakin bahawa bertambah banyaknya rekod dunia yang baru yang akan dicipta dalam Sukan Olimpik Beijing akan menjadikan stadium-stadium ini lebih terkenal dalam sejarah sukan manusia."

Duta Besar Bulgaria ke China, Georgi Peichinov amat berminat terhadap kebudayaan China. Beliau memberitahu wartawan CRI bahawa beliau menanti-nantikan lebih banyak persembahan yang berunsur budaya China yang penuh istimewa dalam upacara perasmian Sukan Olimpik Beijing. Beliau yakin bahawa upacara perasmian tersebut tentu sangat menarik sehingga tidak mungkin dapat dilupakan.

"Untuk memberikan satu kejutan kepada rakyat seluruh dunia, kandungan persembahan dalam upacara perasmian Sukan Olimpik Beijing masih dirahsiakan hingga sekarang. China merupakan sebuah negara yang bersejarah lama, kaya dengan warisan budaya dan mempunyai penduduk yang terdiri daripada 56 etnik. Saya menanti-nantikan persembahan upacara perasmian Sukan Olimpik yang penuh dengan keistimewaan China. Ia pasti sangat menarik."

Pada 10 hingga 21 April lalu, pertandingan menembak Piala Dunia Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa "Selamat Berjaya Beijing" telah diadakan di Beijing. Penembak wanita negara Bulgaria yang dua kali menjadi juara Sukan Olimpik, Maria Grozdeva juga datang ke Beijing menyertai pertandingan tersebut.

"Saya diberitahu Dewan Menembak Beijing dan kompleks stadium sukan ini sudah siap dibina dua tahun lalu. Inilah kali pertama saya melihat stadium sukan yang begitu moden dan selesa. Saya sangat gembira dapat menyertai Sukan Olimpik di gelanggang sukan ini."

Ketika menyentuh tentang persiapannya Sukan Olimpik Beijing, Maria Grozdeva menyatakan bahawa masih banyak lagi perkara yang perlu dibuat persiapan. Untuk meraih pingat emas ketiganya dalam Sukan Olimpik, selain kemahiran teknikal dan psikologi yang luar biasa, beliau juga berharap sedikit kepada nasib yang baik.

"Buat masa ini, saya berlatih setiap hari untuk menyiapkan diri bagi Sukan Olimpik Beijing. Sebelum bermulanya temasya sukan itu, saya hendak menyertai pertandingan Piala Dunia di Munich dan Milan. Dalam pertandingan yang akan saya sertai itu, kami akan dapat mengetahui hasil latihan persiapan atlet-atlet negara lain. Saya harap saya dapat meraih pingat dalam pertandingan tersebut. Dengan itu, saya akan lebih yakin untuk ke Sukan Olimpik Beijing."

Rakyat Bulgaria juga menaruh harapan yang tinggi kepada Maria Grozdeva dan atlet yang lain. Seorang penduduk Sofia, iaitu ibu negara Bulgaria memberitahu wartawan CRI bahawa beliau sangat berharap dapat mendengar lagu kebangsaan Bulgaria lebih kerap bergema dalam Sukan Olimpik Beijing.

"Juara dua kali Sukan Olimpik sudah menjadi harapan kami bagi Sukan Olimpik ini. Saya percaya dia boleh meraih pingat emas sekali lagi dalam acara pistol 25 meter. Saya mengucapkan selamat berjaya kepadanya dan semua atlet negara Bulgaria yang akan menyertai Sukan Olimpik Beijing. Semoga mereka mencapai prestasi yang cemerlang."

----Puspa

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |