v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Keyakinan Diri Pasukan Badminton Negara Bertambah dengan Kejayaan dalam Piala Thomas & Uber

2008-06-25 17:20:09 CRI

Kejohanan badminton Piala Thomas dan Uber 2008 telah berakhir di Jakarta, Indonesia pada bulan Mei lalu. Pasukan lelaki dan wanita negara China telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan masing-masing merangkul Piala Thomas dan Piala Uber. Pada masa tidak sampai tiga bulan sebelum Sukan Olimpik Beijing, pasukan negara China bukan sahaja dapat menimba banyak pengalaman berguna daripada perlawanan tersebut, di samping lebih mengenali kemampuan lawan yang akan ditemui dalam gelanggang saingan Sukan Olimpik nanti, malah keyakinan kepada diri mereka sendiri juga bertambah kukuh. Seterusnya, sila ikuti laporan terperinci mengenai prestasi pasukan negara China dalam kejohanan badminton itu.

Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber yang diadakan dua tahun sekali diiktiraf sebagai kejohanan utama badminton peringkat antarabangsa bagi acara berpasukan lelaki dan wanita. Matlamat utama pasukan negara China menyertai kejohanan itu adalah untuk menguji kemantapan para anggota dan juga membuat persiapan untuk Sukan Olimpik Beijing. Pasukan lelaki dan wanita negara China berjaya mempertahankan gelaran juara yang dimenangi masing-masing dua tahun yang lalu. Ketua jurulatih pasukan badminton negara, Li Yongbo menyatakan bahawa keyakinan para pemainnya kepada diri sendiri bertambah kukuh dengan pencapaian dalam kejohanan kali ini.

"Selain bertambahnya keyakinan kepada diri sendiri, kami juga mengetahui lebih dalam tentang kemampuan lawan dan kemampuan sendiri. Yang paling penting ialah, acara ini membolehkan kami lebih menyedari sebarang kekurangan diri sebelum Sukan Olimpik Beijing dan juga menambah semangat serta kekeyakinan untuk menang. Ini amat penting bagi kami dalam latihan persiapan ke temasya sukan itu."

Dalam kejohanan badminton Piala Uber, pasukan wanita China menundukkan tuan rumah, iaitu pasukan Indonesia dengan 3-0 dalam perlawanan akhir dan sekali lagi mempertahankan kejuaraan buat kali keenam berturut-turut. Bagaimanapun, pasukan wanita China juga menghadapi halangan dalam perjalanan mereka ke juara Piala Uber kali ini . Dalam perlawanan suku akhir, pemain nombor satu China, Xie Xingfang kalah kepada pemain Belanda dalam perlawanan pembukaan. Ini menyebabkan pasukan China terpaksa berdepan dengan Belanda sehingga ke perlawanan kelima, dan akhirnya pasukan China memperoleh kemenangan tipis dengan 3-2.

Selepas perlawanan itu, Xie Xingfang mengakui bahawa dia menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan suasana perlawanan.

"Setiap perlawanan juga menjadi satu lagi latihan bagi saya, lebih-lebih lagi masa untuk Sukan Olimpik Beijing semakin mendesak. Saya pun berharap dapat menunjukkan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan. Namun, dalam perlawanan dengan pemain Belanda, saya tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana gelanggang dan arah angin. Itu sebabnya saya kalah dalam perlawanan itu. Memang sukar bagi saya untuk segera menyesuaikan diri apabila angin bertiup atau dalam keadaan ketinggalan."

Rakyat China meletakkan harapan yang tinggi kepada Xie Xingfang untuk membawa pulang pingat emas badminton acara perseorangan wanita bagi Sukan Olimpik Beijing. Kumpulan jurulatih pasukan negara China memilih dia sebagai pilihan pertama perseorangan wanita dalam acara berpasukan kali ini dengan tujuan untuk menyediakan lebih banyak peluang kepadanya untuk mencari pengalaman. Keputusan perlawanan seterusnya membuktikan, Xie Xingfang telah dapat mengatasi tekanan , dan berjaya melepasi ujian psikologi sebagai peneraju utama pasukan negara dengan kemenangannya pada peringkat separuh akhir dan peringkat akhir.

Selain Xie Xingfang, pemain muda juga memperoleh pengalaman yang berguna selepas menempuh segala kesukaran yang dialami dalam perlawanan Piala Uber kali ini. Li Yongbo berpendapat bahawa kesukaran yang dihadapi sekarang ini lebih memperlihatkan nilai pertandingan dan permainan masa kini.

"Dulu, kami kerap kali memenangi Piala Uber dengan kemenangan mutlak. Kami tidak pernah tewas walaupun satu perlawanan. Oleh itu, pemain-pemain kami tidak pernah menemui cabaran sebenar dari segi psikologi. Namun, kami memang menemui kesukaran tertentu dalam pusingan suku akhir dan separuh akhir. Kemenangan kedua-dua pusingan itu akhirnya dicapai selepas kami mengubah situasi ketinggalan. Pengalaman ini amat penting bagi pemain kami, terutamanya dalam persiapan ke Sukan Olimpik Beijing."

Dalam perlawanan Piala Thomas pula, pasukan lelaki negara China menjadi juara bagi kali ketiga berturut-turut selepas mengalahkan pasukan Republik Korea dengan keputusan 3-1. Kejohanan Piala Thomas kali ini menyaksikan persaingan sengit antara pasukan China dengan pasukan negara lain.

Dalam perlawanan yang berlangsung beberapa hari itu, pemain nombor satu perseorangan lelaki China, Lin Dan sentiasa diberikan perhatian oleh para peminat. Lin Dan juga merupakan pemain nombor satu dunia bagi acara perseorangan lelaki. Dia dianggap sebagai pemain yang paling berpotensi mendapat pingat emas badminton acara perseorangan lelaki dalam Sukan Olimpik Beijing.

Walau bagaimanapun, ketidaktentuan prestasinya dalam kejohanan peringkat antarabangsa selalu menimbulkan kebimbangan para peminat badminton China.

Dalam pusingan separuh akhir kejohanan Piala Thomas kali ini, Lin Dan tewas kepada pemain Malaysia, Lee Chong Wei. Ini sekali lagi menunjukkan kelemahannya dalam menangani situasi dan kurang kesabaran apabila menghadapi cabaran hebat.

Dalam perlawanan akhir, Lin Dan menemui cabaran yang lebih hebat daripada pemain Republik Korea, Park Sung-hwan. Bagaimanapun, dia berjaya menewaskan lawannya dan mendapat satu mata kunci yang membantu kemenangan pasukan lelaki China. Lin Dan berpendapat bahawa kemenangannya dalam perlawanan tersebut memberi pengalaman yang amat berguna kepada diri sendiri.

"Saya rasa sangat sukar dalam perlawanan akhir, tapi saya tiada pilihan selain bertahan dan sabar menghadapi lawan. Pada masa itu, saya memang tiada rahsia untuk mencapai kejayaan, cuma tahu mesti bertahan untuk mendapatkan satu mata yang penting itu."

Kemenangan pasukan lelaki dan wanita negara China dalam Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber kali ini sekali lagi menunjukkan kedudukan pertama China di dunia bagi acara badminton. Pengalaman para pemain China dalam kejohanan itu amat berguna bagi mereka yang akan bertanding dalam gelanggang Sukan Olimpik tidak lama lagi.

Bulan ini, pasukan badminton negara China akan menghantar tiga kumpulan pemainnya ke Singapura, Indonesia dan Thailand untuk menyertai siri perlawanan untuk lebih mengenali lawan mereka, dan juga untuk menyesuaikan diri, mengumpulkan pengalaman dan memperkukuh kemampuan sebelum Sukan Olimpik Beijing.

----Puspa

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |