v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Amirul Hamizan, Atlet yang Tidak Mengaku Kalah

2008-08-05 11:38:14 CRI

Malaysia akan menghantar kontinjen yang terdiri daripada 33 orang atlet untuk menyertai Sukan Olimpik Beijing dan bertanding dalam 9 acara pertandingan. Amirul Hamizan, atlet angkat berat kategori 56 kilogram ialah salah seorang atlet dalam kontinjen Malaysia. Beliau melayakkan diri untuk menyertai pertandingan Sukan Olimpik Beijing selepas memperoleh pingat perak dalam Kejohanan Angkat Berat Asia Ke-4 di Jepun pada bulan Mei lalu, sekali gus menduduki tempat ke-12 di dunia dalam acara tersebut.

Dengan kehebatan yang ditunjukkan olehnya itu memang dijangkakan Amirul akan terpilih.. Dia merupakan atlet angkat berat yang terunggul di Malaysia dan mempunyai kebolehan yang nyata untuk menyertai Sukan Olimpik, walaupun pada tahun lalu dia baru melepasi tempoh dua tahun larangan untuk bertanding.

Pada tahun 2002, semasa Sukan Komanwel Ke-17 diadakan di Manchester, Britain, Amirul Hamizan telah menjadi kebanggaan Malaysia. Semasa menyebut kecemerlangan yang dicapai oleh Amirul pada masa itu, Ketua jurulatih angkat berat Malaysia, Lin Xinhui berkata:

"Amirul Hamizan mempunyai kebolehan yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan atlet dari negara Komanwel yang lain. Malaysia telah meraih 7 pingat emas dalam temasya sukan itu, 3 pingat daripadanya diraih dia seorang."

Kejayaan Amirul itu telah membuktikan bahawa atlet angkat berat Malaysia bukan sahaja terkehadapan di rantau Asia Tenggara, malah mampu bertanding dengan atlet yang terunggul di seluruh dunia. Sementara itu, Amirul Hamizan yang hanya berusia 21 tahun pada masa itu telah mendapat pujian tinggi daripada media dalam negeri. Walau bagaimanapun, beliau berasa tidak cukup sekadar menjadi juara dalam Sukan Komanwel itu kerana sesetengah negara gergasi dalam acara angkat bera, seperti China dan Turki, bukan negara anggota Komanwel. Oleh yang demikian, beliau menetapkan matlamat untuk menyertai pertandingan yang lebih berprestij seperti Sukan Olimpik dan bersaing dengan atlet-atlet yang terunggul di dunia.

Dengan usaha gigihnya, keupayaan Amirul Hamizan semakin meningkat. Semasa menyertai satu pertandingan dalam negeri pada Tahun 2005, Amirul didapati positif dalam ujian air kencing dan dianggap pernah menggunakan ubat steroid yang dilarang. Perkara ini turut menghairankan seluruh rakyat Malaysia. Wartawan sukan dari RTM, Ismadi semasa mengenang kembali perkara itu berkata: "Sesungguhnya, saya berasa amat hairan. Amirul Hamizan yang meraih 3 pingat emas dalam Sukan Komanwel dianggap tokoh yang terunggul dalam kalangan ahli sukan Malaysia. Bagaimanapun, kami terpaksa menerima hakikat itu dan berharap dia dapat menerima kenyataan.

Walaupun Amirul tetap menafikan sekeras-kerasnya pernah menggunakan sebarang ubat yang dilarang, namun keputusan dalam ujian itu tidak dapat diubah. Oleh itu, Amirul Hamizan terpaksa berundur dari pasukan negara dan menerima hukuman dilarang bertanding selama dua tahun. Perkara ini dianggap sebagai satu tamparan hebat kepada anak muda yang berusia 24 tahun dan sedang berada di kemuncak kegemilangan seorang atlet. Selepas peristiwa itu, Amirul Hamizan lenyap daripada pandangan orang awam.

Jurulatihnya, Lin Xinhui juga merasa amat kesal dan terkilan terhadap peristiwa yang menimpa Amirul. Kata beliau: "Malang sekali, larangan dua tahun untuk bertanding sungguh merugikan. Perkara ini juga menyebabkan latihannya terhenti selama dua tahun, malah dia berasa putus asauntuk melanjutkan usahanya"

Walau bagaimanapun, galakan yang diberikan oleh jurulatih telah menyemarakkan semula semangat Amirul Hamizan kepada sukan angkat berat. Dia segera mengadakan latihan dengan bersungguh-sungguh selepas tempoh larang bertanding tamat pada tahun lalu. Ramai yang menganggap bahawa tidak mungkin bagi anak muda itu untuk mencapai cita-citanya dalam Sukan Olimpik kerana dia hanya ada masa setahun sahaja menjelang Sukan Olimpik 2008. Namun cakap-cakap negatif itu ditepis oleh Amirul kerana beliau telah berjaya melayakkan diri untuk menyertai Sukan Olimpik Beijing, malah dapat memecah rekod dalam negeri.

Sekarang, anak muda itu sedang mengikuti latihan secara tertutup di pulau Hainan China bagi membuat persiapan rapi menyertai Sukan Olimpik.

Semangat dan kehebatan Amirul Hamizan sekali lagi telah mengagumkan Malaysia. Orang awam meletakkan harapan kepadanya supaya mencatat kecemerlangan dalam Sukan Olimpik.

Wartawan RTM, Ismadi berkata: "Sekarang Amirul telah sekali lagi menjadi fokus media. Banyak rencana yang tersiar mengenainya yang meletakkan harapan tinggi kepadanya dan berharap dia dapat mengekalkan semangat tinggi dan bersungguh-sungguh menghadapi pertandingan. Berdasarkan keadaan Amirul sekarang, kami berharap dia akan mencapai markah yang paling baik bagi dirinya atau mencipta rekod baru dalam negeri. Malah, bukan mustahil bagi Amirul Hamizan untuk menduduki tempat ke-5 di hadapan dalam Sukan Olimpik nanti."

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |